1MDB: Malaysia akan terima bayaran pertama

No Image Caption
A
A
A

PUTRAJAYA - Malaysia akan terima pembayaran pertama wang yang didakwa dicuri daripada 1Malaysia Development Bhd (1MDB) tahun ini, kata Menteri Kewangan, Lim Guan Eng.

Tanpa mendedahkan jumlah dan sumber wang itu, Guan Eng berkata: "Ia bukan berbilion tetapi sekurang-kurangnya ia permulaan yang baik.

"Ini merupakan berita baik. Kami berharap ini akan disusuli dengan pembayaran berikutnya kepada Malaysia, di mana kami akan mendapat balik wang yang dicuri daripada 1MDB,” katanya selepas menyampaikan cek RM20 juta kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal pengguna untuk Kempen Beli Barangan Malaysia, di sini, hari ini.

Pada tahun lepas Guan Eng dipetik sebagai berkata Malaysia menjangkakan untuk mendapat semula dana sehingga RM14.4 bilion yang berpotensi hilang menerusi 1MDB.

Guan Eng berkata beliau menjangkakan pembayaran awal pertama akan dibuat pada bila-bila masa dalam waktu terdekat, dengan butirannya akan diumumkan apabila ia telah dimuktamadkan.

Berhubung laporan berita mengenai kajian oleh kumpulan pemikir Global Financial Integrity berpangkalan di Washington yang meletakkan Malaysia di nombor tiga selepas China dan Mexico dalam aliran keluar wang haram pada 2015, Guan Eng berkata: "Disebalik berita buruk, ada berita baik berhubung penerimaan pembayaran pertama daripada 1MDB."

Guan Eng turut menggesa parti-parti politik, yang telah menyuarakan sokongan terhadap Pelan Antirasuah Nasional yang dilancarkan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad semalam, untuk memulangkan semula wang yang diterima daripada 1MDB.

"Saya harap mereka dapat pulangkan semula wang itu kepada kerajaan. Parti politik yang mana, saya fikir semua orang tahu,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Ditanya sekiranya parti politik berkenaan tidak memulangkan semula wang itu, Guan Eng berkata tindakan perlu termasuk tindakan undang-undang akan diambil terhadap mereka.- Bernama