1 Utama nafi catat 63 kes positif Covid-19

Pengurusan 1 Utama menafikan dakwaan JBPD Petaling bahawa terdapat 63 kakitangan mereka positif Covid-19.
Pengurusan 1 Utama menafikan dakwaan JBPD Petaling bahawa terdapat 63 kakitangan mereka positif Covid-19.
A
A
A

SHAH ALAM - Pengurusan pusat beli-belah 1 Utama menafikan dakwaan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JBPD) Petaling semalam yang melaporkan terdapat 63 kes positif koronavirus (Covid-19) melibatkan kakitangan di premis itu.

Menerusi satu kenyataan hari ini, pengurusan 1 Utama berkata, dakwaan mengatakan semua 63 kes positif wabak berkenaan melibatkan kakitangan mereka adalah tidak tepat memandangkan tiada kes indeks dikenal pasti dari pusat beli-belah itu.

Menurutnya, menerusi saringan yang dijalankan ke atas 6,000 individu di pusat beli-belah itu sebelum ini, 21 kakitangan di premis berkenaan telah disahkan positif.

"Kami ingin nyatakan 44 kes positif Covid-19 yang dinyatakan oleh JBPD Petaling membabitkan pengawal keselamatan di sini tidak melibatkan 1 Utama dan juga bukan termasuk dalam kalangan 6,000 individu yang disaring sebelum ini.

"Sebaliknya mereka adalah pengawal keselamatan luar yang disediakan oleh pihak ketiga di mana jangkitan berlaku di asrama mereka dan bukannya melibatkan premis membeli-belah ini.

"Malah apabila Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengenal pasti ada seorang pengawal keselamatan positif sebelum ini, kami telah bertindak pantas dengan menghentikan sementara perkhidmatan sehingga mereka selesai jalani saringan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, 1 Utama memaklumkan 21 kakitangan di premis mereka yang positif sebelum ini juga telah dikuarantin oleh KKM selepas keputusan saringan berkenaan diketahui.

Katanya, daripada 13 pusat beli-belah di Lembah Klang yang dilaporkan mempunyai kes Covid-19, 1 Utama merupakan pengurusan pertama yang mengambil risiko dengan menjalankan saringan ke atas kakitangan mereka dengan skala besar pada 11 dan 12 Oktober lalu.

Artikel Berkaitan:

"Objektif kami adalah untuk memastikan semua orang disaring dengan segera bagi mengenalpasti suspek yang positif dan mempunyai kontak rapat dengan kakitangan kami," katanya.