Menteri UMNO digesa nyatakan pendirian: Nur Jazlan

Nur Jazlan Mohamad
Nur Jazlan Mohamad
A
A
A

JOHOR BAHRU - Ahli Parlimen UMNO yang menganggotai Kabinet digesa menyatakan pendirian sama ada mahu kekal dengan Perikatan Nasional (PN) atau akur kehendak parti susulan penarikan sokongan UMNO terhadap PN.

Timbalan Pengerusi UMNO Johor, Datuk Nur Jazlan Mohamad berkata, ini adalah masa terbaik untuk ahli akar umbi tahu sama ada ahli Parlimen berkenaan mengutamakan kepentingan diri atau UMNO.

"UMNO sudah membuat keputusan untuk menarik sokongan kepada PN, jadi bermakna restu parti kepada ahli Parlimen yang berada dalam Kabinet kerajaan PN sekarang sudah berakhir.

"Mereka (Ahli Parlimen UMNO) perlu nyatakan pendirian mereka sama ada mahu kekal dengan PN atau akur dengan keputusan parti," katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Semalam UMNO membuat pertimbangan untuk menarik diri daripada menyokong PN dan akan memberi syarat baharu kepada kerajaan di bawah pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin itu bagi meneruskan kerjasama politik secara perjanjian bertulis.

Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, perkara itu turut dipersetujui sebulat suara oleh 13 Pengerusi UMNO negeri yang hadir dalam Mesyuarat Biro Politik Majlis Tertinggi UMNO yang berlangsung selama dua sesi hari itu.

Mengulas lanjut Nur Jazlan berkata, apabila UMNO sudah membuat ketetapan tidak menyokong PN, secara logiknya ahli Parlimen UMNO yang menjadi menteri atau timbalan menteri perlu turut meletakkan jawatan mereka dalam Kabinet.

"Mungkin sebelum ini ahli Parlimen UMNO dalam kerajaan PN boleh berdolak dalih atau berdiam diri ketika konflik antara UMNO dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) tercetus kerana tiada keputusan rasmi dibuat oleh pucuk pimpinan parti.

Artikel Berkaitan:

"Bagi saya jika mereka berjiwa besar dan pejuang UMNO sejati, mereka perlu letak jawatan dalam kerajaan PN serta berdiri teguh menyokong pendirian parti," katanya.

Dalam masa sama, Nur Jazlan juga mendesak Pas supaya menyatakan pendirian mereka sama ada mahu terus menyokong PN atau memperkukuhkan Muafakat Nasional yang bakal didaftarkan tidak lama lagi.

Jelas beliau, Pas tidak boleh bertindak 'main dua kolam' bagi menjaga survival politik parti itu semata-mata tetapi sebaliknya perlu ikhlas memilih pihak mana yang mereka mahu bekerjasama.

"Pas terlebih dahulu menjalinkan kerjasama politik dengan UMNO dalam Muafakat Nasional dan selepas itu baru bersama menyokong PN.

"Jadi bila UMNO tidak lagi mahu bersama PN, Pas pun kenalah buat keputusan mereka, nak terus bersama Muafakat Nasional atau ingin terus menyokong PN. Biar perkara ini jelas," katanya.