Projek gelatin halal pertama negara bakal bermula di Pahang

Kamal menerima geran untuk projek gelatin halal pertama negara disampaikan Zahari dalam satu majlis di Pejabat Mara Kuala Lumpur baru-baru ini.
Kamal menerima geran untuk projek gelatin halal pertama negara disampaikan Zahari dalam satu majlis di Pejabat Mara Kuala Lumpur baru-baru ini.
A
A
A

KUANTAN - Projek gelatin halal pertama negara bakal bermula di Pahang melalui penubuhan Pusat Inkubator Pengeluaran Gelatin Halal di Industrial Technology Engineering Creativity Space (ITECS), Universiti Malaysia Pahang (UMP) kampus Pekan.

Projek itu akan direalisasikan tidak lama lagi apabila UMP menerima baki geran RM5 juta hasil projek kerjasama dengan Majlis Amanah Rakyat (Mara).

Ia melibatkan peruntukan keseluruhan berjumlah RM20 juta yang disalurkan secara berperingkat dalam bentuk geran.

Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UMP, Profesor Ts Dr Kamal Zuhairi Zamli berkata, penubuhan Pusat Inkubator Pengeluaran Gelatin Halal di atas tapak yang berkeluasan 1.78 hektar itu dijangka mampu mengeluarkan 360 tan metrik gelatin halal setahun.

Menurutnya, hasil pengeluaran itu akan menyumbang kepada keperluan gelatin halal dunia yang mencecah hampir 90,000 tan setahun.

"UMP telah melantik syarikat hiliran UMP, UMP Green Technology Sdn Bhd sebagai pengurus dan pelaksana bagi projek ini," katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis penyerahan geran itu di Pejabat Mara Kuala Lumpur baru-baru ini.

Turut hadir, Pengarah Bahagian Infrastruktur Komersial Mara, Zahari Aziz dan Pengarah Urusan, UMP Green Technology Sdn Bhd, Profesor Datuk Ts Dr Rosli Mohd Yunus.

Artikel Berkaitan:

Kamal berkata, produk gelatin mendapat permintaan tinggi apabila ia digunakan secara meluas dalam pelbagai industri seperti industri makanan, minuman, fotografi, farmaseutikal dan kosmetik.

“Ia juga akan mewujudkan kesan limpahan dalam membantu menarik lebih ramai usahawan tempatan, mewujudkan peluang pekerjaan kepada penduduk dan alumni universiti serta menyediakan kemudahan latihan industri.

“Melalui kepakaran penyelidikan saintifik, penerokaan projek ini bakal mewujudkan industri baharu dalam prospek pengembangan industri gelatin halal di negara ini," katanya.

Tambah beliau, UMP juga akan memainkan peranan lebih besar terutamanya dalam pengeluaran gelatin halal menerusi perkongsian kepakaran, pembangunan penyelidikan, latihan, dan jaringan perniagaan.

Sementara itu, Rosli berkata, pihaknya mendapat kerjasama dengan Syarikat BCA International Sdn Bhd bagi merealisasikan projek tersebut.

Menurutnya, kewujudan inkubator gelatin halal di dalam kampus memberikan peluang besar kepada penyelidik bagi menjalankan latihan untuk tenaga pengajar dan pelajar UMP.

“Ia akan membolehkan mereka melakukan penyelidikan dan pembangunan produk melalui kemudahan akses itu di dalam kampus.

“Selain itu, universiti turut mendapat manfaat daripada kepakaran syarikat dalam industri halal, khususnya dalam bidang pengetahuan teknikal, pengoptimuman proses dan pembangunan sumber manusia,” katanya.

Katanya, memandangkan industri pengeluaran gelatin amat bergantung kepada sumber haiwan, UMP memerlukan bantuan kepakaran dan khidmat nasihat daripada Jabatan Perkhidmatan Veterinar.

“Jabatan ini bertindak sebagai pihak berkuasa yang bertanggungjawab memastikan aras pematuhan dan integriti produksi yang tinggi selaras dengan undang-undang dan prosedur operasi standard (SOP).

“Selain itu, kerjasama ini memperlihatkan sokongan pihak-pihak berkepentingan seperti Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dalam mewujudkan kemudahan pembuatan gelatin halal pertama di negara ini," katanya.