Latihan kem boling negara tergendala lagi

Maradona Chok
Maradona Chok
A
A
A

KONGRES Tenpin Boling Malaysia (MTBC) sekali lagi terpaksa menghentikan latihan skuad boling negara akibat Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang dilaksanakan di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya bermula hari ini.

Setiausaha Agungnya, Maradona Chok berkata, semua pemain perlu berada di rumah masing-masing dan hostel sehingga mendapat kebenaran daripada Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Majlis Sukan Negara (MSN).

“Kami mahu semuanya berada dalam keadaan selamat... jadi tiada gunanya mengambil risiko dengan mendedahkan diri kami sekarang ini. Lebih baik tinggal di rumah dan bantu melandaikan lengkungan,” katanya ketika dihubungi.

Semalam, Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri berkata, sukan individu, sukan yang tidak bersentuhan dan sukan di kawasan terbuka tidak melebihi 10 orang masih dibenarkan, tetapi tidak untuk semua aktiviti kolam renang, bersentuhan fizikal, sukan tempur dan sukan dalam dewan, serta penganjuran sukan atau kejohanan adalah tidak dibenarkan sewaktu PKPB.

Dalam hal ini, latihan skuad boling negara di Sunway Megalanes di Sunway Pyramid menjadi persoalan kerana pemain boling bukanlah sebahagian daripada atlet latihan tertutup dan terkawal yang ditempatkan di Bukit Jalil dan Kompleks MSN Keramat; Akademi Badminton Malaysia (ABM), Bukit Kiara dan Pusat Kecemerlangan Paralimpik Kampung Pandan.

Skuad elit boling kini sedang bersedia untuk menghadapi Kejohanan Boling Tenpin Asia ke-26 di Hong Kong dijadualkan pada 3 hingga 13 Jun, manakala skuad junior kini berlatih untuk Kejohanan Junior Dunia yang akan berlangsung dari 22 Jun hingga 4 Julai di Helsingborg, Sweden, kedua-duanya tahun hadapan. - Bernama

Artikel Berkaitan: