Berilah kritikan secara membina

A
A
A

BANK Islam Malaysia Berhad yang ditubuhkan pada tahun 1983 merupakan sebuah bank Islam pertama di Malaysia yang menawarkan produk perbankan Islam.

Ia satu alternatif kepada masyarakat Islam pada ketika itu yang sudah sekian lama bergelut dalam sistem perbankan konvensional. Atas kesedaran untuk menyelamatkan umat Islam daripada sistem riba, para cendekiawan Islam pada zaman tersebut mengambil inisiatif merealisasikan sistem kewangan Islam di Malaysia. Bermula dengan penubuhan Bank Islam, akhirnya Malaysia menjadi sebuah negara hebat dan terkenal dalam aspek kewangan Islam.

Di Malaysia, kerajaan bukan sahaja berusaha memajukan perbankan Islam, malah sektor kewangan Islam yang lain iaitu takaful dan pasaran modal Islam juga mendapat perhatian yang sama.

Dengan wujudnya produk dan perkhidmatan kewangan Islam dalam tiga sektor tersebut, umat Islam kini sudah mempunyai alternatif untuk menyelamatkan diri daripada sistem kewangan konvensional.

Antara tiga sektor kewangan Islam tersebut, yang paling banyak mendapat kritikan adalah perbankan Islam. Malah, dalam seminggu yang lalu, ada pihak yang mendakwa perbankan Islam mengamalkan riba pintu belakang.

Serangan-serangan panas terhadap perbankan Islam tidak pernah berhenti semenjak dari dahulu lagi.

Pada pandangan saya, memberi kritikan membina adalah suatu yang amat dialu-alukan kerana tidak dinafikan bahawa tiada suatu yang sempurna di dunia ini. Apa yang dilakukan oleh manusia tetap akan ada kelemahannya.

Namun, jika kritikan itu bertujuan meruntuhkan kewangan Islam di Malaysia, saya berpendapat ia adalah suatu yang sangat tidak wajar. Saya mengatakan ia tidak wajar kerana sepatutnya kita menyokong sistem kewangan Islam.

Artikel Berkaitan:

Jika tidak kerana jasa ulama terdahulu yang berusaha bersungguh-sungguh merealisasikan kewangan Islam di Malaysia meskipun dengan pelbagai kekurangan ketika itu, mungkin pada hari ini, kita masih membeli kereta, rumah dan sebagainya menggunakan perbankan konvensional.

Sebenarnya, kita di Malaysia sangat bertuah kerana pihak Bank Negara Malaysia (BNM) yang mengawal selia sektor perbankan Islam dan takaful serta pihak Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) yang mengawal selia sektor pasaran modal Islam sentiasa membuat penambahbaikan dalam semua aspek berkaitan kewangan Islam dari masa ke masa termasuk tadbir urus syariah.

Semua itu dilakukan demi memastikan bahawa kewangan Islam di Malaysia benar-benar mematuhi hukum-hakam syariah secara sepenuhnya.

Keseriusan pihak pengawal selia untuk memastikan perbankan Islam misalnya mematuhi syariah secara sepenuhnya dapat kita lihat dengan berkuat kuasanya Akta Perkhidmatan Kewangan Islam 2013 (APKI 2013) dan Dokumen Polisi Urus Tadbir Syariah 2019 (DPUTS 2019).

Dengan berkuat kuasanya APKI 2013 dan DPUTS 2019, pihak yang terlibat dengan perbankan Islam dan takaful mempunyai satu tanggungjawab yang berat untuk memastikan produk dan perkhidmatan yang disediakan selari dengan syariah.

Bagi membantu industri, BNM telah menerbitkan 14 Piawai Syariah dan Keperluan Operasi bagi kontrak-kontrak yang menjadi kontrak pendasar kepada produk dan perkhidmatan perbankan Islam dan takaful.

Dengan penambahbaikan dan usaha yang telah dilakukan oleh BNM, kita sepatutnya menaruh keyakinan bahawa produk perbankan Islam dan takaful di Malaysia memenuhi kehendak syariah.

Seperti yang telah saya sebutkan, memang tiada yang sempurna tetapi menuduh perbankan Islam sebagai mengamalkan riba pintu belakang adalah suatu yang amat kurang wajar sama sekali.

Oleh itu, marilah kita menyokong kewangan Islam di Malaysia dengan memberi kritikan membina dan bukannya kritikan membunuh. Wallahu a’lam.

* Dr Shamsiah Mohamad berpengalaman sebagai penyelidik isu-isu kewangan Islam dan Syariah