Cerita politik Anwar bikin negara gegak gempita

No Image Caption
A
A
A

SEJAK beberapa hari lalu, beberapa orang rakan Merak Jalanan sibuk bertanyakan tentang Datuk Seri Anwar Ibrahim. Mereka lebih hendak tahu apa jadi selepas Anwar menghadap Yang di-Pertuan Agong.

Soal mereka, benarkah Ahli Parlimen Port Dickson itu sudah mempunyai ‘nombor’ yang boleh mengakibatkan kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang dipimpin Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin ‘runtuh’.

Paling penting bagi mereka, adakah pucuk pimpinan kerajaan akan bertukar tangan dalam masa terdekat selepas Anwar selesai menghadap Seri Paduka di Istana Negara kelmarin.

Geleng kepala Merak Jalanan apabila diasak bertubi-tubi dengan soalan berbaur politik. Merak Jalanan sendiri tidak tahu apa kesudahannya percaturan orang-orang politik ini. Sebabnya politik umpama permainan persepsi.

Kalau ditanya soal sukan – tak kira apa acara sukan sekali pun, insya-ALLAH Merak Jalanan ada jawapannya tetapi apabila ditanya soal politik, Merak Jalanan lebih gemar ambil pendekatan lebih selamat.

Maklumlah, Merak Jalanan sedar rakan-rakan Merak Jalanan itu ada yang merupakan penyokong kuat Anwar dan ada juga yang ‘kaki bangkang’. Jadi, molek benar kalau Merak Jalanan ambil jalan tengah.

Merak Jalanan percaya, kalau ditanya kepada pemerhati politik, pakar Perlembagaan mahupun orang-orang politik itu sendiri, mereka juga tidak ada jawapan apa kesudahan cerita ‘langkah Anwar ke Istana Negara’.

Sudah tentu, apabila ditanya mereka boleh memberi pandangan dan hujah atas kapasiti masing-masing tetapi kesudahannya, mereka sendiri sedang memerhati rapat apa akan berlaku dalam beberapa hari mendatang.

Artikel Berkaitan:

Cuma satu persoalan yang selalu bermain dalam benak fikiran Merak Jalanan – adakah Anwar sempat bergelar Perdana Menteri sebelum perjalanan politiknya terhenti?