Azhar sangkal dakwaan PM tidak benarkan usul dibahaskan

Azhar Azizan Harun - Foto Bernama
Azhar Azizan Harun - Foto Bernama
A
A
A

SHAH ALAM - Speaker Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun menafikan dakwaan bahawa Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin tidak membenarkan usul undi tidak percaya ke atasnya dibahaskan di Dewan Rakyat.

Beliau sebaliknya berkata, usul tersebut telah disenaraikan dalam Aturan Urusan Mesyuarat mengikut Peraturan-Peraturan Mesyuarat, namun urusan kerajaan perlu didahulukan seperti yang termaktub di bawah peraturan mesyuarat dewan itu.

"Berkenaan dengan dakwaan Perdana Menteri tidak membenarkan usul undi tidak percaya dibahaskan dengan disenaraikan di penghujung Aturan Urusan Mesyuarat harian. Seperti mana Tan Sri sedia maklum, Peraturan 15 Peraturan-peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat menyatakan bahawa urusan kerajaan hendaklah didahulukan berbanding urusan lain.

"Dakwaan yang menyatakan bahawa Perdana Menteri tidak membenarkan usul tidak percaya dibahaskan dengan cara menyenaraikan di penghujung senarai kertas Aturan Urusan Mesyuarat harian adalah tidak benar kerana usul tersebut telah disenaraikan di dalam Aturan Urusan Mesyuarat mengikut Peraturan-Peraturan Mesyuarat.

"Tan Sri juga memohon jaminan agar usul tidak percaya itu akan dibentang di Dewan Rakyat sebagai suatu keutamaan pada mesyuarat persidangan akan datang.

"Untuk makluman Tan Sri, selaku Yang di-Pertua Dewan Rakyat, tugasan saya adalah terikat dengan Peraturan-Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat sedia ada," katanya menerusi satu surat kepada Tengku Razaleigh Hamzah yang dilihat Sinar Harian, hari ini.

ARTIKEL BERKAITAN: [DIKEMAS KINI] Ku Li mahu usul undi tidak percaya dibahaskan

Terdahulu, Ahli Parlimen Gua Musang itu mahu usul undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dibahaskan di Dewan Rakyat.

Menerusi sepucuk surat yang dilihat oleh Sinar Harian, Tengku Razaleigh mendakwa Muhyiddin telah menolak usul yang sama untuk dibahaskan sebanyak dua kali.

Artikel Berkaitan:

Mengulas lanjut, Azhar berkata, selaku Yang Dipertua Dewan Rakyat, tugasan beliau terikat dengan Peraturan-Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat sedia ada.

Jelasnya, mana-mana Ahli Dewan Rakyat boleh memberi notis untuk membentangkan usul dan ia akan dipertimbangkan berdasarkan Peraturan Mesyuarat.

"Justeru, saya tiada masalah untuk Dewan mempertimbangkan Usul-Usul Persendirian jika telah selesai semua urusan kerajaan atau pun terdapat usul oleh seorang menteri di bawah Peraturan 14(2) untuk mendahulukan Usul-usul Persendirian," katanya.

Katanya, dalam keadaan jika masih terdapat Urusan-Urusan Kerajaan dan Tengku Razaleigh ingin memberi keutamaan kepada Usul-Usul Persendirian yang tertentu, beliau disaran untuk berunding dengan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang), Datuk Takiyuddin Hassan untuk berbuat demikian.

Ia kerana, katanya, keputusan beliau selaku Speaker Dewan Rakyat mengenai apa jua usul untuk diberikan keutamaan sepatutnya dikemukakan dan memenuhi peruntukan Peraturan-Peraturan Mesyuarat.

"Akhirnya saya berharap semoga penjelasan ini mendapat perhatian, pertimbangan dan kerjasama pihak Tan Sri selanjutnya dalam usaha memastikan Urusan Mesyuarat Persidangan Dewan Rakyat yang akan datang dapat dilaksanakan dengan sempurna ke arah mendaulatkan institusi Parlimen yang mulia kekal terpelihara," katanya.