Seorang staf TH Kota Kinabalu positif Covid-19

Tabung Haji
Tabung Haji
A
A
A

SHAH ALAM - Seorang anggota Lembaga Tabung Haji (TH) di Kota Kinabalu, Sabah didapati positif Covid-19.

TH dalam kenyataannya hari ini mengesahkan perkara tersebut dan memaklumkan bahawa kakitangan berkenaan sedang menjalani rawatan di hospital.

“Anggota tersebut telah menjalani saringan Covid-19 pada 8 Oktober lalu dan didapati positif pada 14 Oktober lalu.

“TH juga telah menutup semua cawangannya di Sabah bermula 7 Oktober lalu sebaik sahaja menerima arahan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dari Kerajaan Negeri Sabah,” menurut kenyataan berkenaan.

Dalam kenyataan sama, TH memaklumkan bahawa Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah mengenal pasti pasti kontak rapat pegawai yang dijangkiti Covid-19.

Menurut kenyataan itu, kesemua kakitangan berkenaan telah diarahkan untuk menjalani ujian saringan serta menjalani kuarantin kendiri selama 14 hari.

"Selain itu, operasi sanitasi akan dilakukan di kawasan kerja Ibu Pejabat TH Kota Kinabalu dengan kerjasama rapat daripada KKM dengan mengambil kira langkah pencegahan bagi meminimumkan potensi jangkitan kepada warga kerja lain dan juga para pendeposit yang berurusan di kaunter TH," katanya.

Dalam pada itu, TH turut menasihati orang awam khususnya para pendeposit yang berurusan di bangunan pejabat TH di seluruh negara untuk sentiasa mematuhi semua garis panduan dan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan di semua pintu masuk dan kaunter TH.

Artikel Berkaitan: