Kampung bertukar ‘lautan’

Rumah penduduk Kampung Sungai Baru Gunung dan Sungai Baru Tok Keramat, Alor Setar ditenggelami banjir kilat hari ini akibat hujan berterusan beberapa hari.
Rumah penduduk Kampung Sungai Baru Gunung dan Sungai Baru Tok Keramat, Alor Setar ditenggelami banjir kilat hari ini akibat hujan berterusan beberapa hari.
A
A
A

ALOR SETAR - Hujan berterusan selama beberapa hari menyebabkan dua buah kampung di sini dipenuhi air yang melimpah dari sungai berdekatan.

Fenomena banjir kilat itu bagaimanapun dikatakan sudah menjadi rutin penduduk di Kampung Sungai Baru Gunung dan Sungai Baru Tok Keramat sejak puluhan tahun lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) kampung berkenaan, Datuk Abdul Rashid Ahmad berkata, masalah itu turut melibatkan beberapa kawasan berdekatan bermula dari Kampung Bohor, Pulau Kerengga, Alor Melintang, Alor Pie, Alor Gunung, Seberang Anak Bukit, Cegar Belakang Istana, Sungai Baru Tengah dan Sungai Baru Kuala Sungai.

“Keseluruhan rumah penduduk di kawasan terlibat banjir adalah sebanyak 1,500 buah rumah. Masalah ini dialami sejak tahun 1960-an.

"Setiap tahun penduduk berdepan banjir dan paling dahsyat pada 2010 ketika banjir besar sehingga penduduk dipindahkan ke pusat pemindahan banjir,” katanya kepada Sinar Harian di sini hari ini.

Abdul Rashid berkata, tandop yang terdapat di Kubang Rotan, Kuala Kedah terlalu sempit menyebabkan apabila musim hujan atau tengkujuh, paras air hujan berlebihan tidak dapat dilepaskan ke laut.

“Halangan lain termasuk keadaan tanah tidak sama rata di mana terdapat kawasan yang dalam dan cetek. Malah titi yang rendah menghalang aliran air apabila hujan lebat mengakibatkan paras air naik mendadak.

Artikel Berkaitan:

Antara rumah penduduk yang terjejas banjir.
Antara rumah penduduk yang terjejas banjir.

" Ini diburukkan lagi dengan sampah sarap yang dibuang penduduk ke dalam sungai dan tersangkut pada titi menyebabkan berlaku banjir kilat,” katanya.

Menurutnya, titi di jalan raya utama dari Jalan Putra ke Kangar iaitu di kawasan Kuala Sungai juga cetek.

“Sebelum ini pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) pernah membina terusan kecil, sampah sarap dan kayu yang hanyut akan tersangkut di situ. Begitu juga keadaaan di persimpangan lampu isyarat dari simpang Jalan Suka Menanti ke Gunung Keriang,” katanya.

Sehubungan itu, Abdul Rashid berkata, beliau berharap jabatan dan agensi berkaitan melakukan tinjauan segera bagi mengatasi masalah berkenaan.

“Saya cadangkan titi yang rendah itu digantikan dengan binaan lebih tinggi supaya aliran air lancar. Ini termasuk perparitan dalam kampung dan jalan dibaik pulih serta diperbesarkan perparitan di jalan utama Kuala Sungai dan Sungai Baru,” katanya.

Sementara itu, Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor berkata, sebuah Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) diwujudkan sebagai persediaan menghadapi bencana banjir di Kedah.

"PKOB tersebut di bawah Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Ammar Shaikh Mahmood Naim bagi memantau keadaan di seluruh negeri dan menyelaras bantuan kepada mangsa melibatkan beberapa agensi," katanya.

Menurut beliau, banjir yang melanda beberapa kampung di daerah Pendang dan Kota Setar berlaku disebabkan hujan berterusan namun persediaan telah diambil bagi menghadapi situasi itu.

“Tiada pelepasan air di tiga empangan iaitu Ahning, Pedu dan Muda sejak 8 Oktober lalu yang mengakibatkan banjir. Berdasarkan jangkaan Jabatan Meteorologi, kedudukan planet Marikh mencapai jarak dekat Bumi menyebabkan hujan berterusan,” katanya.

Tambahnya, turunan hujan secara menyeluruh tinggi sejak seminggu lalu di kawasan tadahan bendang, sungai dan empangan dengan bacaan tertinggi 41 milimeter (mm) hingga 53mm menyebabkan peningkatan aliran sungai di Kuala Nerang dan Sungai Pendang.

“Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) telah menyalurkan air lebihan melalui infrastruktur pengairan dan saliran sedia ada sejak Jumaat melalui sistem utara, tengah dan selatan ke laut. Lebihan air juga disalirkan ke laut dengan membuka ‘Pelubang Barrage’ di Kampong Kepala Batu dan Ampang Jajar di Alor Setar,” katanya.