Saman terhadap pencetus Kluster Sivagangga ditangguhkan

Laporan Sinar Harian 19 Ogos lalu.
Laporan Sinar Harian 19 Ogos lalu.
A
A
A

ALOR SETAR - Mahkamah Tinggi Alor Setar hari ini menangguhkan perbicaraan kes saman difailkan Persatuan Pengguna Kedah terhadap pemilik restoran nasi kandar yang mencetuskan Kluster Sivagangga akibat penularan Covid-19.

Setiausaha Persatuan Pengguna Kedah, Mohamad Yusrizal Yusoff berkata, Nezar Mohamed Shahbur Batcha kini menjalani hukuman di Penjara Pokok Sena kerana melanggar prosedur operasi standard (SOP) Covid-19.

Menurut beliau, Nezar tidak dapat hadir susulan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) membabitkan penjara terbabit.

“Ini kali kedua kes itu ditangguhkan selepas dijadualkan pada 13 September lalu, namun terpaksa ditangguhkan kerana daerah Kota Setar dikenakan PKPD ketika itu. Nezar masih belum memfailkan hujah pembelaan atau melantik peguam,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Mahkamah menetapkan 29 November untuk sebutan semula kes berkenaan.

Persatuan Pengguna Kedah diwakili peguam Tetuan Zunun & Co untuk pengurusan kes saman pencetus Kluster Sivagangga itu.

Nezar, 57, pemilik kedai Nasi Kandar Salleh di Napoh dikenakan denda RM12,000 dan lima bulan penjara kerana melanggar perintah kuarantin di rumah pada 13 Ogos lalu.

Pada 19 Ogos, Persatuan Pengguna Kedah mengemukakan tuntutan saman lebih RM1 juta terhadap Nezar mewakili pemilik perniagaan, pekerja dan penerima upah dari mukim Napoh dan Megat Dewa akibat terjejas dengan perintah PKPD di mukim berkenaan akibat pelanggaran Nezar terhadap perintah kuarantin selepas pulang dari India.

Artikel Berkaitan:

Pihak lain yang menuntut termasuk Jawatankuasa Peniaga RTC Pekan Napoh, Kelab Usahawan Belia Napoh, Persatuan Peniaga Kecil dan Penjaja Napoh, serta dua persatuan penduduk di Napoh.

Akibat pelanggaran SOP itu, empat mukim di Kubang Pasu dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan Bersasar (PKPDB) dengan restoran berkenaan ditutup.

ARTIKEL BERKAITAN: Cake fail saman ke atas pencetus Kluster PUI Sivagangga