X

Kindly register in order to view this article
!

Trump ejek Biden gara-gara tersasul ketika berkempen

Trump mengejek Biden menerusi ciapan beliau di Twitter semalam. - Foto Agensi
A
A

WASHINGTON - Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump menggunakan taktik lapuk apabila beliau mengejek pesaingnya dalam Pilihan Raya Presiden AS 2020, Joe Biden menerusi gambar yang dikongsi menerusi ciapan di Twitter semalam.

Trump, 74, memuat naik gambar bekas Naib Presiden itu yang disunting bersama sekumpulan pesara dengan kapsyen 'Biden sebagai penghuni' pusat jagaan warga emas.

Bilionair hartanah terbabit bertindak menyindir Biden, 77, yang digelar 'Sleepy Joe' selepas beliau didakwa tersasul menyebut dirinya 'bertanding untuk Senat' ketika berkempen bagi merebut jawatan di Rumah Putih kira-kira tiga minggu sebelum pemilihan berlangsung.

Kesilapan itu menyebabkan Trump mendakwa Biden mengalami demensia dan keadaannya semakin teruk.

Sebelum ini, bekas doktor Rumah Putih, Ronny Jackson yang pernah mendakwa Trump kononnya bakal hidup selama 200 tahun menyatakan beliau percaya Biden tidak mempunyai keupayaan mental atau kognitif untuk memegang tampuk pemerintahan di negara itu.

Trump yang kembali berkempen awal minggu lalu melancarkan serangan baharu ke atas Biden selepas keputusan kaji selidik terbaharu menunjukkan penyokong warga emas di kubu kuat parti Republikan di Florida telah mula beralih sokongan kepada calon parti Demokrat terbabit.

Pada 7 Oktober lalu, tinjauan dilakukan Quinnipiac mendapati Biden memperoleh kelebihan selesa di negeri kerusi panas tersebut apabila beliau meraih 55 peratus undi sokongan golongan pengundi berusia 65 tahun ke atas berbanding 44 peratus yang diperoleh Trump. - Agensi


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!