PKPB: Malaysian Tigers boleh teruskan latihan

Para pemain giat menjalani latihan sebelum ini. -Foto: Malaysian Hockey Confederation
Para pemain giat menjalani latihan sebelum ini. -Foto: Malaysian Hockey Confederation
A
A
A

SKUAD Malaysian Tigers dibenarkan meneruskan sesi latihan seperti biasa di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil, sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) bermula hari ini, namun perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan Majlis Sukan Negara (MSN) dan Konfederasi Hoki Malaysia (KHM).

Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Pasukan Kebangsaan KHM, Datuk Ahmad Najmi Abdul Razak menegaskan, antara syarat ditetapkan ialah kesemua pemain skuad lelaki kebangsaan serta skuad projek khas 2026 lelaki dan wanita itu, diwajibkan tinggal di asrama MSN dan mereka yang enggan, dilarang menyertai sesi latihan bersama rakan sepasukan yang lain.

“MSN telah mewakili KHM untuk mendapatkan kebenaran daripada Majlis Keselamatan Negara (MKN), bagi meneruskan sesi latihan di padang dan juga gimnasium sepanjang tempoh PKPB. Semua perlu patuh setiap garis panduan serta arahan yang dikeluarkan MSN.

“MSN juga telah menetapkan sepanjang tempoh latihan tersebut, atlet dan jurulatih tidak dibenarkan untuk berinteraksi atau mempunyai sebarang kontak dengan mana-mana individu luar, demi memastikan keselamatan mereka berada di tahap terbaik. Ini termasuk tiada sebarang liputan media dibenarkan dalam tempoh berkenaan,” katanya menerusi kenyataan di sini hari ini.

Difahamkan pemain pasukan lelaki kebangsaan yang sebelum ini menetap di rumah masing-masing, telah pun mendaftar masuk ke asrama MSN pada malam tadi.

Ahmad Najmi turut mengingatkan pemain dan barisan kejurulatihan untuk sentiasa peka dan mengambil berat tentang kondisi badan mereka, serta segera memaklumkan kepada pihak MSN atau KHM, sekiranya mengalami sebarang tanda-tanda yang cenderung ke arah jangkitan virus koronavirus (Covid-19).

Artikel Berkaitan: