Polis keluarkan 24 kompaun di PKPB Penampang

Mohd Haris mengetuai Ops Bersepadu Pematuhan Covid-19 di Pasar Borong Tani, Penampang.
Mohd Haris mengetuai Ops Bersepadu Pematuhan Covid-19 di Pasar Borong Tani, Penampang.
A
A
A

PENAMPANG - Polis mengeluarkan 24 kompaun terhadap orang awam yang didapati ingkar arahan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di daerah ini.

Ketua Polis Daerah Penampang, Deputi Superintendan Mohd Haris Ibrahim berkata, kompaun itu dikeluarkan sejak 7 Oktober lalu kepada 22 pesalah lelaki dan dua pesalah wanita.

"Kompaun itu dikeluarkan sehingga semalam (kelmarin) sejak PKPB dilaksanakan dan tindakan ini akan diteruskan sebagai memperlihatkan ketegasan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam melaksanakan penguatkuasaan PKPB di daerah ini.

"Pemantauan dan penguatkuasaan ini akan diteruskan dari masa ke masa sepanjang perlaksanaan PKPB di Penampang dan Putatan," katanya selepas mengetuai Ops Bersepadu Pematuhan Koronavirus (Covid-19) di Pasar Borong Tani Penampang semalam.

Mohd Haris mengetuai Ops Bersepadu Pematuhan Covid-19 di Pasar Borong Tani, Penampang.
Mohd Haris mengetuai Ops Bersepadu Pematuhan Covid-19 di Pasar Borong Tani, Penampang.

Mengulas berhubung operasi yang dilaksanakan, Mohd Haris berkata, operasi itu diadakan bagi memastikan orang ramai yang datang ke pasar borong tani mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

"Daerah Penampang sememangnya diletakkan dalam zon merah dalam PKPB dan mempunyai risiko yang tinggi.

"Oleh itu, kerjasama beberapa agensi kerajaan termasuk Majlis Daerah Penampang dengan agensi lain adalah untuk memastikan SOP sentiasa dipatuhi," katanya.

Artikel Berkaitan:

Terdahulu, beliau berkata, Pasar Borong Tani Penampang tidak ditutup kerana keperluannya kepada masyarakat setempat, namun orang ramai harus mematuhi SOP untuk mengurangkan risiko jangkitan.

"Masa operasinya dihadkan bermula jam 6 pagi hingga 2 petang dan penguatkuasaan SOP juga diketatkan serta dipantau oleh Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela)," katanya.