Mohd Shafie teruskan perjuangan Warisan Plus

Mohd Shafie Apdal - Foto Bernama
Mohd Shafie Apdal - Foto Bernama
A
A
A

KOTA KINABALU - Kekalahan kerajaan Warisan Plus yang dipimpin bekas Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah baru-baru ini bukan pengakhiran bagi perjuangan parti itu.

Malah Mohd Shafie yakin bahawa sokongan yang diberikan rakyat Sabah adalah satu rangsangan semangat kepada perjuangan mereka selama ini.

"Saya yakin sokongan yang diberikan itu merupakan satu rangsangan semangat kepada kami untuk meningkatkan usaha dalam mengambil semula tampuk pemerintahan pada masa akan datang.

"Saya berharap semua rakyat Sabah akan sentiasa yakin kepada kami semua untuk meneruskan perjuangan demi kepentingan rakyat, ini bukanlah penghujung bagi kita," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam satu video yang dimuat naik dalam Facebooknya hari ini.

Video berdurasi dua minit 35 saat itu memaparkan beliau sedang berucap dengan berlatarbelakangkan bumi Sabah dan gerakan kempen Warisan Plus dalam PRN Sabah.

Tambah Mohd Shafie lagi, perjuangan akan diteruskan dan tidak akan gentar untuk berhadapan dengan sebarang cabaran untuk memperjuangkan hak rakyat Sabah.

"Kita teruskan perjuangan ini dan kita akan tingkatkan usaha itu untuk memastikan kita dapat berpadu untuk menguatkan perjuangan kita.

Artikel Berkaitan:

"Jangan bimbang dan gentar untuk berhadapan dengan sebarang rintangan dalam memperjuangkan hak rakyat Sabah dan juga bumi Sabah. Pada tuhan kita yakin, berpadu kita mesti," katanya.

Terdahulu, beliau turut mengucapkan terima kasih kepada seluruh rakyat Sabah yang telah menunaikan tanggungjawab untuk mengundi pada PRN lalu.

Dalam PRN Sabah 26 September lalu, Warisan Plus yang dipimpin beliau tumbang selepas hanya mampu meraih 32 kerusi berbanding Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang berjaya memiliki 38 kerusi dalam pilihan raya itu.