DBKL cari pelaku koyak pelekat dinding lif

Kerosakan pada dinding lif itu dikongsikan oleh seorang pengguna di Facebook Warga Sentul hari ini.
Kerosakan pada dinding lif itu dikongsikan oleh seorang pengguna di Facebook Warga Sentul hari ini.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) sedang mengesan pihak tidak bertanggungjawab yang mengoyakkan pelekat pada dinding lif di Blok 37 Perumahan Awam Sri Perak di sini.

Kejadian itu dikongsikan oleh seorang pengguna, Muthu Kumar di Facebook Warga Sentul yang menunjukkan keadaan sebahagian besar pelekat mengenai perkhidmatan DBKL itu telah dikoyakkan dan kejadian dipercayai berlaku semalam.

Unit Media DBKL menerusi Facebook rasminya hari ini berkata, pihaknya telah ke lokasi kejadian untuk menjalankan siasatan dan mengenal pasti kerosakan.

Menurutnya, DBKL juga sedang membuat semakan menerusi rakaman sistem kamera litar tertutup (CCTV) bagi mengesan pelaku terlibat.

"Siasatan sedang dijalankan dan sebaik sahaja pelaku dikenal pasti, DBKL akan memanjangkan perkara ini kepada pihak penguatkuasaan untuk tindakan selanjutnya," katanya.

DBKL berkata, pihaknya akan meneruskan langkah pencegahan yang perlu bagi mengawal kemusnahan harta benda awam daripada terus berlaku.

"Ia termasuk pemasangan CCTV bagi memantau pergerakan di dalam lif, melantik ketua blok dan ketua unit yang bertanggungjawab menyelia penghuni kawasan Perumahan Awam dan Projek Perumahan Rakyat.

"Selain itu, rondaan dan pemantauan akan dilakukan oleh pelawat perumahan seterusnya aduan kerosakan dilaporkan untuk tindakan pemulihan segera," katanya.

Artikel Berkaitan:

Katanya, DBKL akan terus memberikan perkhidmatan terbaik demi keselesaan warga kota khususnya penghuni di kawasan Perumahan Awam dan Projek Perumahan Rakyat.