Polis cari tiga lelaki bantu siasatan kes pelaburan palsu

Chang Tack Hwa, Soon Beng Gee, Lee Chong Liang
Chang Tack Hwa, Soon Beng Gee, Lee Chong Liang
A
A
A

SEREMBAN - Polis sedang mengesan tiga lelaki bagi membantu siasatan kes pelaburan palsu melibatkan seorang mangsa dengan kerugian RM315,290.

Lelaki berkenaan ialah Chang Tack Hwa, 53, beralamat di Jalan Dua Eng Ann Estate, Klang, Selangor; Soon Beng Gee, 39, beralamat di Rumah Pangsa Bandar Hilir, Melaka dan Lee Chong Liang, 38, di Taman Desa Mas, Rawang Selangor atau Jalan Sekolah Kampung Baru Kundang, Rawang, Selangor.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Negeri Sembilan, Superintendan Aibee Abd Ghani berkata, mangsa berusia 56 tahun telah diperkenalkan dengan satu skim pelaburan pada Mac 2017.

"Mangsa dijanjikan akan mendapat keuntungan 10 sehingga 13 peratus setiap bulan iaitu sepatutnya pada bulan ketujuh.

"Mangsa yang terpedaya telah membuat bayaran menggunakan cek kepada sebuah perniagaan seperti mana diarahkan berjumlah RM315,290," katanya.

Menurutnya, mangsa yang sepatutnya mula menerima bayaran pada Oktober 2017 mula menyedari ditipu apabila masih belum menerima sebarang bayaran sehingga ini.

Beliau berkata, mangsa juga telah membuat pemeriksaan nama syarikat yang didaftarkan untuk pelaburan itu pada dua tahun lalu, namun yang mengecewakannya apabila namanya telah ditukar.

"Mangsa pernah bertanya kepada individu yang memperkenalkan skim pelaburan itu, namun pelbagai alasan diberi.

Artikel Berkaitan:

"Mangsa turut dijanjikan wangnya akan dikembalikan, namun sehingga kini tiada apa-apa bayaran dibuat. Mangsa kemudian membuat laporan polis bulan lalu," katanya.

Sehubungan itu, polis telah menjalankan siasatan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan tiga lelaki berkenaan dicari bagi membantu siasatan lanjut.

"Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi pegawai penyiasat kes iaitu Sarjan Mohd Ismail Naim di talian 019-7348006," katanya.