Pengusaha inap desa di kawasan perumahan perlu henti operasi

Jagdeep Sing Deo
Jagdeep Sing Deo
A
A
A

GEORGETOWN - Kerajaan Pulau Pinang akan mengeluarkan notis kepada pengusaha inap desa di kawasan perumahan bagi memberhentikan aktiviti berkenaan.

Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan, Perancangan Bandar dan Desa, Jagdeep Sing Deo berkata, notis di bawah Seksyen 27(2)(a) Akta Perancangan Bandar dan Desa 1976 akan dihantar melalui pihak berkuasa tempatan (PBT) itu juga mengarahkan pihak terbabit untuk memulihkan semula tanah dan bangunan seperti keadaan sebelumnya.

"Notis dikeluarkan bagi segala pindaan dan tambahan atau pengubahsuaian dalaman terhadap unit inap desa atau Airbnb di bawah Akta Jalan, Parit Dan Bangunan 1974.

"Tindakan perobohan akan diambil selepas notis disempurnakan," katanya ketika menjawab soalan lisan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Delima, Syerleena Abdul Rashid pada Mesyuarat Kedua Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang ke-14 hari ini.

Mengulas lanjut, Jagdeep berkata, bagi bangunan strata pula adalah tertakluk di bawah Akta Pengurusan Strata 2013 (Akta 757).

Katanya, tiada sebarang peruntukan pada Akta 757 berkaitan isu inap desa atau Airbnb.

"Oleh yang demikian, jika terdapat isu inap desa atau Airbnb di bangunan strata, PBT akan menasihati Badan Pengurusan Bersama (JMB) dan Management Corporation (MC) untuk membuat undang-undang kecil tambahan sebagaimana yang dinyatakan pada Seksyen 32(3) dan Seksyen 70(2), Akta 757.

"Seksyen tersebut memberikan kuasa kepada JMB dan MC bagi membuat undang-undang kecil tambahan melalui ketetapan khas pada mesyuarat agung bagi mengawal selia kawalan,pengurusan, pentadbiran, penggunaan bangunan dan harta bersama," katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, pihak JMB dan MC juga boleh menetapkan denda yang tidak melebihi RM200 terhadap pemilik yang melanggar undang-undang kecil tersebut.

Dalam masa yang sama, pihaknya akan menyemak dengan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan terhadap perkara ini dan tindakan seterusnya adalah menyediakan satu garis panduan yang lengkap terhadap aktiviti ini terutamanya di kawasan perumahan.