Pasaran tenaga kerja bertambah baik pada suku ketiga: BNM

No Image Caption
A
A
A

PASARAN tenaga kerja bagi suku ketiga 2020 semakin baik, didorong oleh langkah-langkah luar jangka bagi mengekalkan pekerjaan selain aktiviti pengambilan semula pekerja yang ketara susulan pemulihan ekonomi.

Timbalan Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Jessica Chew berkata, pembukaan semula ekonomi pasca tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan pemulihan permintaan luaran juga memacu peningkatan aktiviti pengambilan semula pekerja pada suku berkenaan.

Malah, bagi setiap 100 pekerjaan yang hilang sebaliknya kini menyaksikan sebanyak 22 penggantian berbanding cuma sembilan penggantian pada suku kedua, katanya.

“Sudah pasti terdapat sektor yang mana prospek pemulihan penggajian dan pendapatannya terbukti lebih mencabar seperti industri berkaitan pelancongan, namun kadar pengangguran juga bertambah baik kepada 4.7 peratus pada Julai.

“Terdapat tanda-tanda bahawa pasaran tenaga kerja semakin pulih dan ini dijangkakan dapat bertahan pada suku keempat 2020 apabila kegiatan ekonomi terus meningkat,” katanya pada sesi taklimat media bersama barisan editor perniagaan, secara maya bersempena Tinjauan Kestabilan Kewangan Separuh Pertama 2020 yang dikeluarkan hari ini.

Jessica juga menyifatkan kadar subsidi dan program-program yang diperkenalkan kerajaan sebagai kritikal pada masa ini dalam usaha menjamin persekitaran pasaran tenaga kerja.

Pendekatan-pendekatan yang diambil seperti moratorium bersasar dan bantuan menerusi pakej-pakej rangsangan juga dijangka diteruskan sehingga 2021.

Pada Julai lepas, kerajaan mengumumkan pelaksanaan lanjutan moratorium dan bantuan bank bersasar yang diharap dapat memberi manfaat kepada tiga juta individu dan perusahaan kecil dan sederhana.

Artikel Berkaitan:

Setakat 11 September lepas, institusi perbankan telah melakukan libat urus dengan lebih 1.4 juta peminjam yang mana lebih 380,000 peminjam mengesahkan masih memerlukan bantuan.

Jessica berkata, 98 peratus permohonan lanjutan moratorium dan bantuan bank bersasar itu telah diluluskan.

“Kita sebelum ini telah mengenal pasti sebanyak tiga juta peminjam (daripada pelbagai sektor) sebagai golongan mudah terjejas, tetapi apa yang jelas, tidak semua peminjam dalam sektor terbabit memerlukan bantuan.

“Ada di antara mereka yang masih bergelut menangani kesukaran, namun pada masa sama, kita juga melihat ada pelanggan yang dapat membuat bayaran balik yang sepatutnya jatuh pada Oktober,” katanya.

Menurut Jessica, angka tersebut kini menghampiri 70 peratus berbanding paras sebelum moratorium dilaksanakan.

Pada Selasa, Jabatan Perangkaan berkata kadar pengangguran negara pada Ogos 2020 kekal pada 4.7 peratus.

Bagaimanapun, bilangan penganggur pada bulan berkenaan berkurangan sedikit sebanyak 3,500 orang kepada 741,600 berbanding Julai 2020. - Bernama