Datuk Seri dan dua anggota polis direman

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Seorang lelaki bergelar Datuk Seri dan dua anggota polis direman selama 21 hari di Mahkamah Majistret di sini bermula hari ini hingga 3 November.

Perintah reman di bawah Akta pencegahan jenayah (POCA) Seksyen 4 (1)(a)1959 itu dikeluarkan oleh Majistret S Mageswary terhadap tertuduh berusia antara 34 hingga 39 tahun.

Terdahulu peguam Loi Yap Loong dan Shah Rizal Abdul Manan, yang mewakili kesemua suspek memohon mahkamah membenarkan ketiga-tiga anak guamnya ditempatkan di lokap Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras.

Permohonan itu atas alasan salah seorang dari mereka mengalami masalah kesihatan termasuk bagi memudahkan proses siasatan.

Pada prosiding itu Timbalan Pendakwa Raya Hanis Anisha Jamilludin, tidak membantah permohonan tersebut.

Isnin lalu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kuala Lumpur, Senior Asisten Komisioner Nik Ros Azhan Nik Ab. Hamid memaklumkan, polis telah menahan semula tiga individu selepas mahkamah menolak perintah reman terhadap mereka yang ditahan berhubung kes pusat panggilan membabitkan kegiatan judi dalam talian.

Beliau berkata, seorang lelaki dan dua anggota polis ditahan selepas dibebaskan SPRM yang sebelum ini direman bagi membantu siasatan berkaitan kes pengubahan wang haram.

Nik Ros Azhan berkata, bagaimanapun mahkamah menolak permohonan untuk mendapatkan perintah reman, namun mereka kini ditahan semula membabitkan satu lagi laporan berkaitan perjudian di Cheras.

Artikel Berkaitan:

Pada 3 Oktober lepas, media melaporkan seorang individu bergelar Datuk Seri akan dipanggil Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi membantu siasatan kes pengubahan wang haram.

Selain suspek, tiga ahli perniagaan akan direman berkaitan kes sama selepas lima individu bergelar Datuk Seri dan Datuk ditahan SPRM.