X

Kindly register in order to view this article
!

Lebih 100 PATI ditahan cuba masuk Malaysia

Ab Rashid (kanan) menyerahkan buku berkaitan amalan normal baharu kepada pengunjung Pasar Wakaf Bharu ketika melakukan operasi di sini hari ini.
A
A

TUMPAT - Lebih 100 pendatang asing tanpa izin (PATI) termasuk tekong rakyat tempatan ditahan dalam tempoh beberapa bulan sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) di sempadan Kelantan-Thailand.

Ketua Polis Daerah Tumpat, Superintendan Ab Rashid Mat Daud berkata, polis tidak sesekali berkompromi terhadap mereka yang melanggar undang-undang negara dengan membawa masuk PATI menerusi laluan tikus.

“Tidak dapat dinafikan ada rakyat tempatan yang menjadi tali barut dan cuba membawa masuk pendatang ke negeri ini melalui pangkalan haram.

“Mereka ini kita bawa kemuka pengadilan untuk tindakan lanjut,” katanya kepada pemberita hari ini.

Terdahulu beliau mengetuai Ops Bersepadu koronavirus (Covid-19) di Pasar Wakaf Bharu di sini yang membabitkan 20 kekuatan bersama Pejabat Kesihatan Daerah, Majlis Daerah Tumpat dan Penerangan Daerah Tumpat.

Ab Rashid juga menegaskan pihak berkuasa yang bertugas di sempadan tidak sesekali ‘berehat’ dan sentiasa melakukan pemeriksaan untuk memastikan pintu sempadan negara tidak dibolosi.

“Saya nak ingatkan mereka yang terlibat terutamanya rakyat tempatan supaya tidak sesekali merisikokan negeri ini dengan membawa masuk PATI apatah lagi ketika negara sedang memerangi Covid-19,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Ab Rashid berkata, sepanjang PKPP terdapat 70 kompaun dikeluarkan kerana melanggar prosedur operasi standard (SOP) di sekitar Tumpat.

Beliau berkata, kebanyakan adalah melibatkan orang ramai yang tidak memakai pelitup muka di tempat awam selain tidak menjaga penjarakkan fizikal.

“Kita mendapati mereka ini sengaja tidak memakai pelitup muka kerana gagal memberikan alasan munasabah,” katanya.

Sementara itu, berdasarkan pemantauan bersama agensi terlibat hari ini di Pasar Wakaf Bharu, didapati kesemua pengunjung dan penjual mematuhi SOP ditetapkan Kementerian Kesihatan Malaysia.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!