Lelaki mati ketika operasi roboh kedai cetus protes di Tunisia

Seorang anggota pasukan keselamatan melepaskan tembakan gas pemedih mata ke arah para penunjuk perasaan di bandar Sbeitla semalam. - Foto AFP
Seorang anggota pasukan keselamatan melepaskan tembakan gas pemedih mata ke arah para penunjuk perasaan di bandar Sbeitla semalam. - Foto AFP
A
A
A

KASSERINE, Tunisia - Sejumlah penduduk yang berang, melakukan protes di sebuah bandar miskin di Tunisia semalam selepas seorang lelaki yang sedang tidur mati ketika pihak berkuasa memusnahkan sebuah kedai haram.

Kedai itu di bandar Sbeitla, di wilayah Kasserine telah dimusnahkan atas arahan pihak berkuasa tempatan, kata pihak berkuasa kepada AFP.

Bapa kepada pemilik kedai tersebut iaitu Abderrazek Khachnaoui terbunuh dalam operasi tersebut, menurut sumber dan seorang anak lelakinya.

"Saya tidak diberitahu tentang keputusan (perobohan kedainya). Ejen-ejen majlis perbandaran meneruskan perobohan tanpa memeriksa jika terdapat seseorang di dalam kedai itu," kata seorang anak lelakinya, Oussama Khachnaoui, 25.

"Bapa saya hanya berumur 49 tahun, mati di tempat kejadian. Ejen-ejen keselamatan melepaskan tembakan gas pemedih mata ke arah keluarga saya yang cuba mendekati kedai saya bagi menyelamatkan bapa saya," katanya kepada AFP.

Kematiannya mencetuskan kemarahan para penduduk yang bertindak melakukan sekatan jalan raya dan membakar sebuah kereta di daerah Sourour, kata saksi yang memberitahu seorang koresponden AFP.

Para penunjuk perasaan turut melontar batu dan lain-lain objek ke arah pasukan keselamatan, kata jurucakap Kementerian Dalam Negeri, Khaled Hayouni yang tidak mengesahkan punca kematian lelaki tersebut.

Pasukan tentera dan keselamatan ditempatkan sebagai "satu langkah berjaga-jaga untuk melindungi tapak-tapak yang sensitif di bandar tersebut, kata jurucakap Kementerian Pertahanan, Mohamed Zekri.

Artikel Berkaitan:

Bandar Sbeitla kerap menyaksikan protes pada masa lalu yang diadakan berhubung kekurangan pelaburan dan pekerjaan.

Golongan muda kerap menjual akhbar dan roti di pasar sebagai usaha untuk membantu pendapatan keluarga ketika masih bekerja.

Perdana Menteri Tunisia, Hichem Mechichi semalam menyuarakan sokongan kepada keluarga si mati dengan mengumumkan satu siasatan berhubung kejadian itu.

Dalam satu kenyataan, katanya, beliau telah memecat dua pegawai penting di wilayah tersebut iaitu ketua keselamatan daerah dan ketua polis Sbeitla termasuk menghantar Menteri Dalam Negeri, Taoufik Charfeddine bagi menawarkan bantuan kepada keluarga mangsa dengan segera. - AFP