Dua penganggur didakwa terima, minta suapan RM54,000

Kedua-dua tertuduh dibawa ke Mahkamah Sesyen Johor Bahru hari ini.
Kedua-dua tertuduh dibawa ke Mahkamah Sesyen Johor Bahru hari ini.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Dua penganggur didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas empat pertuduhan menerima dan meminta rasuah membabitkan nilai RM54,000 bagi menutup kes sebuah syarikat mencuri arus elektrik pada lima tahun lalu.

Tertuduh Amir Nurashid Ahmad Nasaruddin, 42, didakwa atas dua tuduhan meminta rasuah dan satu pertuduhan menerima rasuah, manakala seorang lagi tertuduh, Mohd Zailani Mat Zin, 52, didakwa atas pertuduhan menerima rasuah.

Bagaimanapun, kedua-dua tertuduh mengaku tidak bersalah di hadapan Hakim Kamarudin Kamsun terhadap semua pertuduhan itu.

Mengikut tuduhan pertama dan kedua, Amir Nurashid didakwa meminta RM37,000 daripada seorang individu melalui panggilan telefon jam 12 tengah hari dan 4 petang pada 19 Oktober 2015 sebagai dorongan kepada tertuduh yang kononnya sebagai Pegawai Tenaga Nasional Berhad (TNB) untuk menutup kes sebuah syarikat yang dikatakan mencuri arus elektrik (TNB).

Bagi pertuduhan ketiga dan keempat, Amir Nurashid dan Mohd Zailani didakwa menerima suapan berjumlah RM17,000 daripada seorang individu jam 4 petang pada 26 Oktober 2015 di Kampung Mahmoodiah sebagai dorongan menutup kes sebuah syarikat yang dikatakan mencuri arus elektrik TNB.

Semua kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dibaca bersama Seksyen 28 (1)(C) Akta SPRM 2009 dan Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM yang sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi.

Kes dikendalikan Pegawai Pendakwa SPRM, Yunus Mohamed, manakala kedua-dua tidak diwakili peguam.

Terdahulu, Yunus memohon mahkamah menetapkan jaminan sebanyak RM40,000 kepada Amir Nurashid dan RM20,000 kepada Mohd Zailani.

Artikel Berkaitan:

Namun kedua-dua tertuduh memohon jaminan dikurangkan berikutan mereka sudah tidak bekerja selain perlu menanggung keluarga masing-masing.

Hakim kemudian menetapkan kedua-dua tertuduh dijamin RM15,000 dengan seorang penjamin selain meminta mereka mengambil peguam.

Sebutan semula kes ditetapkan pada 17 November depan.