Kehadiran murid sekolah agama di Pasir Gudang menurun

Tosrin (dua dari kanan) membantu penduduk di Pasar Tani Jalan Kenari Bandar Putra Kulai menerusi pejabat terbuka yang dibuka di situ.
Tosrin (dua dari kanan) membantu penduduk di Pasar Tani Jalan Kenari Bandar Putra Kulai menerusi pejabat terbuka yang dibuka di situ.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Kehadiran murid di sekolah agama di Pasir Gudang semakin menurun berikutan kebimbangan ibu bapa susulan penutupan sebuah sekolah agama di kawasan terbabit sejak Ahad lalu.

Exco Hal Ehwal Agama Islam Johor, Tosrin Jarvanthi berkata, penutupan Sekolah Agama As-Syakirin, Masai dilakukan selepas terdapat kes positif koronavirus (Covid-19) di Sekolah Kebangsaan (SK) Masai yang disahkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Menurutnya, kerajaan negeri akan mengikut nasihat KKM jika terdapat keperluan menutup sekolah-sekolah agama bagi membendung penularan Covid-19.

"Setakat ini hanya Sekolah Agama As-Syakirin, Masai di Pasir Gudang ditutup.

"Keputusan penutupan sekolah akan ikut kepada pengesanan kes positif Covid-19. Jika terdapat kes positif tindakan yang akan diambil adalah melakukan ujian pengesanan Covid-19 untuk pastikan murid dan guru- guru berada dalam keadaan selamat," katanya.

Tosrin Jarvanthi
Tosrin Jarvanthi

Beliau berkata demikian ketika ditemui di pejabat terbuka yang diadakan di Pasar Tani Jalan Kenari, Bandar Putra Kulai di sini petang semalam.

Sekolah Agama As-Syakirin, Masai ditutup serentak dengan Sekolah Kebangsaan (SK) Masai selama tujuh hari bermula Ahad (11 Oktober) hingga 17 Oktober ini.

Artikel Berkaitan:

Semalam, Jabatan Kesihatan Negeri Johor (JKNJ) dalam satu kenyataan menerusi akaun Facebooknya memaklumkan Johor mencatatkan peningkatan kes Covid-19 kepada 10 kes sekali gus menjadikan 55 kes aktif setakat ini.

Pertambahan itu melibatkan enam kawasan iaitu di Plentong, Sungai Tiram, Tebrau, Benut, Simpang Kanan dan Simpang Kiri.

Sehingga kini, terdapat lima kawasan dikategorikan sebagai zon kuning iaitu Linau di Batu Pahat dan empat lagi di Johor Bahru iaitu Bandar, Plentong, Pulai dan Tebrau.