Jangan cuba-cuba tawarkan sesuatu!

Aminuddin (dua kiri) menyerahkan IBR kepada Shamshun(dua dari kanan) sambil diperhatikan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Dr Razali Ab Malik (kiri).
Aminuddin (dua kiri) menyerahkan IBR kepada Shamshun(dua dari kanan) sambil diperhatikan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Dr Razali Ab Malik (kiri).
A
A
A

SEREMBAN – Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun memberi amaran kepada mana-mana pihak supaya jangan sesekali cuba tawarkan sesuatu kepada kerajaan negeri untuk kepentingan tertentu.

Beliau berkata, jika berlaku pihaknya tidak akan teragak-agak membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk diambil tindakan.

“Jika anda hulur, kami akan lapor, itu saja. Jika kita tak lapor, ia akan jadi satu kesalahan. Jadi saya harap tiada lagi tawaran atau perkara yang boleh datangkan rasuah oleh pihak tertentu kepada kerajaan negeri.

“Sekarang ini rasuah itu bukan hanya bagi duit, tapi yang kita takut bagi wanita, harta atau tahta. Setakat ini saya tidak pernah ada pengalaman begitu, tapi bersedia bagi kerjasama sepenuhnya dengan SPRM jika ada berlaku dalam pentadbiran kita,” katanya.

Aminuddin (tengah) dan semua Exco Negeri Sembilan termasuk Setiausaha Kerajaan Negeri, Pegawai Undang-Undang dan Pegawai Undang-Undang selesai melafaz dan menandatangani IBR. Turut kelihatan Shamshun (lima kanan).
Aminuddin (tengah) dan semua Exco Negeri Sembilan termasuk Setiausaha Kerajaan Negeri, Pegawai Undang-Undang dan Pegawai Undang-Undang selesai melafaz dan menandatangani IBR. Turut kelihatan Shamshun (lima kanan).

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas majlis Lafaz dan Menandatangani Ikrar Bebas Rasuah(IBR) Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Sembilan di Bilik Gerakan Wisma Negeri di sini.

Majlis berkenaan disaksikan oleh Timbalan Ketua Pesuruhjaya(Pencegahan) SPRM, Datuk Shamshun Baharin Mohd Jamil.

Sementara itu Aminuddin berkata, ikrar berkenaan merupakan janji kerajaan kepada rakyat untuk memastikan segala urusan pentadbiran negeri adalah bersih, jujur dan berintegriti tinggi.

Artikel Berkaitan:

“Ia bukan saja perlu ada dalam kepimpinan negeri, tapi seluruh penjawat awam. Oleh sebab itu kita akan laksanakan IBR ini kepada seluruh penjawat awam termasuk pihak berkuasa tempatan (PBT).

“Kita nak tunjukkan mesej jelas bahawa budaya buruk ini perlu dibendung. Yang ada ‘beramal’, saya minta berhentilah, berniagalah secara berhemah dan jujur. Kita harap dalam peralihan ini kita mampu tunjuk ketelusan dan kejujuran dalam mentadbir,” katanya.

Beliau berkata, Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir juga dalam titahnya sentiasa mengingatkan kepada seluruh kepimpinan negeri supaya menolak budaya rasuah.