Minggu popular Anwar

Anwar Ibrahim
Anwar Ibrahim
A
A
A

NAMA Datuk Seri Anwar Ibrahim memang cukup popular. Bukan sahaja di Malaysia, malah di beberapa negara lain sama ada mengenai kisah peribadi beliau atau karier politiknya yang tidak pernah suram dengan cerita-cerita sensasi.

Semalam, tanggal 13 Oktober 2020, nama Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu kembali menduduki tangga pertama orang paling popular di Malaysia.

Beliau membawa cerita yang sangat sensitif kerana jika benar jalan ceritanya, Malaysia bakal mendapat kerajaan baharu dengan beliau sebagai Perdana Menteri kesembilan.

Sebelum ini, selepas Perikatan Nasional (PN) membentuk kerajaan, nama Tan Sri Muhyiddin Yassin menjadi sebutan dan sanjungan rakyat terutama apabila kerajaan di bawah pimpinan beliau berjaya mengawal penularan koronavirus (Covid-19).

Pelbagai insentif bantuan disalurkan kepada rakyat telah melonjakkan populariti Muhyiddin sehinggakan apabila beliau mahu bersiaran langsung menyampaikan perutusan khas, rakyat sudah menunggu di kaca televisyen atau menonton di telefon bimbit.

Namun, selepas peningkatan kes baharu Covid-19 yang berkait dengan Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah, populariti Muhyiddin jatuh merudum dan tidak keterlaluan boleh dikatakan, beliau mendapat kritikan negatif.

Rata-rata rakyat menyalahkan kepimpinan beliau kerana tidak menguatkuasakan kuarantin wajib ke atas individu yang pulang dari Sabah. Mendukacitakan, kerajaan hanya mengakui PRN Sabah adalah antara punca peningkatan kes tetapi tidak sekalipun mengakui bahawa tidak mewajibkan kuarantin itu adalah satu kesilapan.

Percaturan

Artikel Berkaitan:

Sepanjang tempoh ketidakpuasan hati rakyat mengenai perkara tersebut, nama Anwar kembali menjadi perhatian apabila Ahli Parlimen Port Dickson itu mendakwa mempunyai sokongan majoriti ahli-ahli Parlimen terutama Melayu bumiputera untuk membentuk kerajaan baharu.

Perkara itu dinyatakan Anwar dalam sidang media tergempar di Kuala Lumpur pada 22 September lalu. Beliau dikatakan akan menghadap Yang di-Pertuan Agong pada hari yang sama tetapi ditangguhkan kerana kegeringan Seri Paduka yang menjalani rawatan di Institut Jantung Negara.

Semalam, beliau diperkenan menghadap Yang di-Pertuan Agong bagi mempersembahkan sokongan seperti yang didakwa beliau.

Adakah Anwar mengikut langkah Muhyiddin yang menjadi Perdana Menteri dengan memperoleh sokongan majoriti melalui Akuan Bersumpah (SD)?

Rakyat sekali lagi disajikan dengan percaturan politik dalam kalangan ahli Parlimen yang setia dan khianat kepada parti masing-masing, kerana sokongan mereka kepada Anwar dikatakan adalah atas kapasiti individu, bukan parti.

Langkah Anwar itu menyebabkan pemimpin politik di blok kerajaan Muhyiddin tidak senang duduk.

Rakyat yang tertanya-tanya dengan kesahihan sokongan itu mula mengalihkan perhatian kepada individu bernama Anwar sehingga nama Muhyiddin tenggelam seketika.

Populariti Anwar melonjak tepat pada masanya dan menjadi pilihan rakyat ketika ini di sebalik kegagalan kerajaan mengawal penularan Covid-19.

Meskipun Anwar telah selesai menghadap Seri Paduka, namun jumlah sebenar ahli Parlimen yang menyokong beliau masih menjadi teka-teki.

Anwar dalam sidang medianya di Hotel Le Meredian di Kuala Lumpur semalam berkata, beliau telah menyerahkan senarai lebih 120 ahli Parlimen terbabit.

Bagaimanapun, Datuk Pengelola Bijaya Diraja, Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin yang mewakili Istana Negara dalam satu kenyataan memaklumkan bahawa Seri Paduka tidak menerima senarai ahli Parlimen yang menyokong Anwar.

Istana Negara membetulkan dakwaan Anwar. Rakyat pastinya lebih mempercayai Istana Negara tetapi tidak mustahil, ada pihak yang mempertahankan Anwar.

Apakah langkah Anwar terhenti begitu sahaja? Jawapannya pasti tidak.

Langkah susulan tentu telah jadualkan rapi menjelang pertemuan Seri Paduka Baginda dengan ketua-ketua parti politik yang juga kononnya telah diatur.

Nampaknya, nama Anwar akan terus menjadi sebutan, bukan sahaja dalam kalangan ahli politik kerajaan dan rakan pembangkang, malah rakyat marhaen juga tertunggu-tunggu kemunculan cerita kerajaan baharu. Anwar dengan langkahnya, kerajaan Muhyiddin pula dengan caranya. Apa yang pasti, minggu ini Anwar adalah minggu Anwar bersama ‘popularitinya’. Sejauh mana keyakinan rakyat, masa akan jadi penentunya.

* Mohd Ridzuan Abu Hassan ialah Eksekutif Strategi Kandungan Sinar Harian