Siapa yang sokong Anwar?

Datuk Seri Anwar Ibrahim selepas selesai perjumpaan beliau bersama Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara, semalam. - Foto Bernama
Datuk Seri Anwar Ibrahim selepas selesai perjumpaan beliau bersama Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara, semalam. - Foto Bernama
A
A
A

SOALAN pertama yang wartawan patut tanya pada Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam sidang medianya semalam ialah, “Apakah Datuk Seri bercakap benar kali ini?”

Awang rasa itulah yang bermain dalam fikiran rakyat selepas sidang media itu. Begitu yakin Tuk Seri Anwar bercakap pasal pertemuannya dengan Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara. Beliau macam memberikan gambaran bahawa Tuanku telah dapat diyakinkan bahawa beliau dapat sokongan majoriti ahli Parlimen.

Tuk Seri Anwar juga kata beliau serah pada Tuanku untuk memanggil ketua-ketua parti untuk mengesahkan hal itu. Tuk Seri Anwar juga meminta Tan Sri Perdana Menteri letak jawatan. Beliau akan wujudkan sebuah kerajaan yang inklusif yang mengambil kira kepentingan semua kaum di negara ini.

Mulanya banyaklah orang yang percaya bahawa pada hari ini (Rabu) berakhirlah kerajaan pimpinan Tan Sri Perdana Menteri.

Tak sampai setengah jam habis sidang media itu, keluar pula kenyataan media oleh Istana Negara. Kenyataan yang ditandatangani oleh Datuk Pengelola Bijaya Diraja itu menyebutkan memang Tuk Seri Anwar diperkenankan menghadap. Waktunya selama 25 minit sahaja. Memang Tuk Seri Anwar ada menyebutkan bahawa beliau ada sokongan majoriti. Kenyataan itu bagaimanapun menyebutkan “beliau tidak mengemukakan senarai nama ahli Dewan Rakyat untuk mengukuhkan dakwaan tersebut.”

Jangkitan Covid-19 makin serius

Awang macam orang lain juga, naik cemas dengan keadaan jangkitan Covid-19 di Malaysia. Hari semalam, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah umumkan 660 kes baharu. Ini merupakan kes harian yang kedua tertinggi dalam sejarah negara. Daripada jumlah itu hanya dua kes import.

Jumlah kes keseluruhan dah jejak 16,880. Memang patut pun rakyat risau. Kita semua tahu punca penularan Covid-19 baharu yang menakutkan ini, antara lain ialah Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.

Artikel Berkaitan:

Rakyat jangka kita dah hampir berjaya melawan Covid-19. Angka mereka yang terjejas pun dah jadi kecil. Kita bangga sebab kawalan yang kita buat membuahkan kejayaan. Tapi dengan jumlah peningkatan terbaru, segala usaha kita jadi macam sia-sia.

Mulai hari ini, Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya akan melalui Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) selain Sabah. Seramai 12.3 juta rakyat akan terlibat atau satu pertiga penduduk negara ini.

Menteri Besar Selangor ada timbulkan soal tindakan kerajaan Pusat dalam isu ini. Memang sepatutnya kerajaan Selangor diajak berbincang hal itu. Kata Menteri Besar, patutnya tumpuan dibuat pada kawasan zon merah atau kuning. Tapi nampaknya seluruh negeri terpaksa berada dalam ‘kurungan’.

Awang faham kesannya pada negeri Selangor. Ekonomi yang dah teruk akan jadi lebih buruk. Lebih ramai rakyat Selangor akan hilang pekerjaan. Tapi Selangor juga terpaksa fikirkan aspek keselamatan penduduknya.

Kata orang inilah keadaan ditelan mati mak, diluah mati bapak.