14 hari tempoh paling getir

Anggota polis membuat persiapan sekatan jalan raya susulan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya bagi mengekang penularan wabak Covid-19. - Foto Bernama
Anggota polis membuat persiapan sekatan jalan raya susulan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya bagi mengekang penularan wabak Covid-19. - Foto Bernama
A
A
A

PERINTAH Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) selama dua minggu yang melibatkan kira-kira 12.3 juta penduduk di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya bermula hari ini serta Sabah semalam, menjadi tempoh kritikal dalam menentukan sama ada usaha Malaysia untuk memutuskan rantaian wabak Covid-19 berjaya ataupun sebaliknya.

PKPB kali ini antara lain melarang orang ramai merentas daerah, institusi pendidikan dan masjid ditutup manakala hanya dua orang daripada sebuah keluarga dibenarkan keluar untuk membeli barangan keperluan.

Tiada siapa yang suka pergerakannya dikawal, namun PKPB ini penting susulan sebahagian besar kes individu positif pernah mengunjungi pusat beli-belah dan kedai makan menyebabkan tempat terbabit berisiko menjadi lokasi penularan wabak.

Apatah lagi kini wujud pula genom super spreader, yang bermakna virus berkenaan lebih cepat tersebar dengan lebih 80 peratus pesakit kelihatan sihat dan tidak menunjukkan sebarang gejala.

PKPB ini tentunya akan memberi kesan kepada pendapatan, tetapi sekurang-kurangnya ekonomi masih berjalan.

Kita tidak mampu berdepan PKP sekali lagi seperti Mac lalu yang menyaksikan negara mengalami kerugian RM2.4 bilion setiap hari disusuli pemotongan gaji dan pemberhentian pekerja.

Pengalaman negara-negara di dunia sepanjang sembilan bulan lalu membuktikan PKP sahaja tidak akan dapat membendung penularan Covid-19 sepenuhnya.

Sesetengah saintis berpendapat virus ini tidak akan dapat dihapuskan dalam masa terdekat ini, atau mungkin untuk selama-lamanya, sama seperti denggi, malaria, H1N1, influenza dan tibi.

Artikel Berkaitan:

Pelaksanaan PKPB kali ini lebih bertujuan mengukuhkan perlindungan dan membina pertahanan ketika masyarakat mula panik melihat peningkatan angka-angka kes baharu yang membimbangkan. Keberkesanannya sudah pasti bergantung kepada tahap disiplin tinggi rakyat untuk mematuhi PKPB ini.

Tempoh 14 hari akan datang hakikatnya adalah tempoh getir bagi penduduk Sabah dan Lembah Klang. Biarlah PKPB ini merupakan yang terakhir dilaksanakan di Malaysia.