Tandukan Luqman Hakim julang KV Kortrijk

Luqman Hakim bersama pemain skuad B-21 KV Kortrijk.
Luqman Hakim bersama pemain skuad B-21 KV Kortrijk.
A
A
A

PEMAIN muda sensasi negara, Luqman Hakim Shamsudin meledak gol kemenangan bagi membantu skuad Bawah 21 Tahun (B-21) KV Kortrijk menewaskan KFCO Beerschot Wilrijk, 1-0 pada aksi Kumpulan 2 Liga Belgium B-21 hari ini.

Gol tunggal perlawanan yang dijaringkan Luqman Hakim menerusi tandukan itu hadir pada minit ke-83, menurut laman sesawang https://azscore.com/football/game/kfco-beerschot-wilrijk-kv-kortrijk-2020-08-17 dan ciapan Twitter @pemain_ke_12.

Ia kemenangan keempat KV Kortrijk selepas mengharungi enam perlawanan dan menyaksikan kelab itu kini berada di kedudukan keempat dengan mengumpul 14 mata.

Luqman Hakim, 18, berlepas ke Belgium pada Ogos lalu menandatangani kontrak lima tahun bersama KV Kortrijk yang dimiliki taikun perniagaan Malaysia, Tan Sri Vincent Tan.

Pemain dari Kota Bharu itu sebelum ini mencipta impak apabila tersenarai dalam kesebelasan utama KV Kortrijk ketika berdepan kelab Divisyen Dua, RWD Molenbeek.

Biarpun tewas dalam perlawanan itu, namun kemasukan Luqman pada minit ke-65 ternyata memberi impak positif kepada KV Kortrijk yang ketinggalan 1-3 untuk bangkit mengikat perlawanan 3-3 sebelum tewas tipis 3-4.

Produk Akademi Mokhtar Dahari (AMD) itu yang mula menyertai KV Kortrijk pada Ogos lalu sebelum ini tidak menunggu lama mempamerkan ketajaman penyudahnya apabila satu golnya membantu skuad utama menewaskan BX Brussel 2-1 pada aksi persahabatan sebelum ini.

Ini adalah merupakan gol kedua Luqman Hakim selepas meledak satu gol semasa aksi persahabatan ketika skuad B-21 KV Kortrijk tewas 4-1 kepada KRC Gent. - Bernama

Artikel Berkaitan: