Lagi demonstrasi di Jakarta ketika ancaman Covid-19

Demonstrasi membantah undang-undang berkaitan tenaga kerja sekali lagi berlangsung di Jakarta hari ini ketika provinsi itu masih mencatatkan jumlah kes positif harian Covid-19 melebihi 1,000 kes.
Demonstrasi membantah undang-undang berkaitan tenaga kerja sekali lagi berlangsung di Jakarta hari ini ketika provinsi itu masih mencatatkan jumlah kes positif harian Covid-19 melebihi 1,000 kes.
A
A
A

JAKARTA - Demonstrasi membantah undang-undang berkaitan tenaga kerja sekali lagi berlangsung di Jakarta hari ini ketika provinsi itu masih mencatatkan jumlah kes positif harian koronavirus (Covid-19) melebihi 1,000 kes.

Provinsi Jakarta masih mencatatkan kes positif Covid-19 keseluruhan tertinggi di republik itu iaitu 89,228 kes, iaitu tambahan 1,054 kes baharu dalam tempoh 24 jam.

Demonstrasi hari ini yang disertai ribuan golongan pekerja dan mahasiswa bermula 1 tengah hari dan berakhir kira-kira 4 petang tadi itu, berlangsung aman.

Namun seperti 8 Oktober lepas, kelompok tertentu yang terdiri dalam kalangan remaja dan golongan tertentu cuba mencetuskan kekacauan dengan melemparkan batu kepada anggota polis.

Menurut Ketua Hubungan Masyarakat Polis Metrojaya (Polis Jakarta) Yusri Yunus, lebih 12,000 anggota polis dan tentera hari ini ditugaskan bagi mengawal demonstrasi itu yang berlangsung di kawasan Medan Merdeka dan Patung Kuda berhampiran Istana Negara.

Sehingga jam 6 petang ini, polis dan tentera masih bertindak mengusir kelompok-kelompok kecil yang dilihat cuba mencetuskan rusuhan di beberapa kawasan di Kota Jakarta.

Pada 8 Oktober lepas, polis Jakarta menahan lebih 1,000 perusuh, kebanyakannya pelajar dan golongan muda, yang dilihat hanya terikut-ikut menyertai demonstrasi itu dan tidak pernah tahu apa-apa berkenaan Undang-undang Omnibus Law Cipta Kerja yang diluluskan Parlimen Indonesia pada 5 Oktober lepas.

Timbalan Gabenor Jakarta Ahmad Riza Patria dalam satu kenyataan sebelum ini berkata, demonstrasi dan rusuhan teruk pada 8 Oktober lepas itu mengakibatkan kerugian harta benda dan kemudahan awam bernilai lebih Rp55billion (RM15.5 juta).

Artikel Berkaitan:

Undang-undang Omnibus Law Cipta Kerja itu adalah cadangan Presiden Joko Widodo pada tahun lepas, bertujuan mengurangkan pelbagai karenah birokrasi untuk menggalakkan pelaburan asing ke Indonesia bagi mewujudkan lebih banyak peluang-peluang pekerjaan.

Pemerintah Indonesia menyatakan beberapa fasal dalam undang-undang itu telah ditularkan dengan fakta yang salah menerusi pelbagai platform di media sosial.

Berdasarkan data yang disiarkan Badan Nasional Pengurusan Bencana (BNPB) dalam laman Twitter rasminya @BNPB_Indonesia hari ini, kes positif keseluruhan di republik itu kini meningkat kepada 340,622 kes iaitu tambahan 3,906 kes dalam tempoh 24 jam.

Bagi tempoh 12 tengah hari semalam sehingga 12 tengah hari ini, 92 lagi kematian berlaku menjadikan jumlah kematian keseluruhan di republik itu kini 12,207 orang. - Bernama