Johnson & Johnson gantung sementara ujian vaksin berpotensi Covid-19

J&J mendakwa sukarelawan terbabit mengalami penyakit sukar dijelaskan selepas diberikan suntikan vaksin berpotensi Covid-19 dihasilkan mereka. - Foto Agensi
J&J mendakwa sukarelawan terbabit mengalami penyakit sukar dijelaskan selepas diberikan suntikan vaksin berpotensi Covid-19 dihasilkan mereka. - Foto Agensi
A
A
A

NEW JERSEY - Johnson & Johnson (J &J) mengumumkan penyelidikan mereka ke atas vaksin berpotensi koronavirus (Covid-19) telah digantung sementara selepas sukarelawan yang terlibat ujian klinikal mengalami penyakit sukar dijelaskan.

Firma berpusat di, New Brunswick, New Jersey, Amerika Syarikat (AS) menerusi satu kenyataan lewat semalam memaklumkan masalah tersebut sedang dinilai dan mereka akan berkongsi lebih banyak maklumat selepas siasatan selesai.

“Kami komited untuk memberikan perkembangan proses ujian klinikal vaksin dihasilkan kami secara telus termasuk isu serius,” ujarnya dalam satu kenyataan.

Bulan lalu, firma pengeluar ubat di United Kingdom (UK), AstraZeneca juga menghentikan sementara ujian vaksin selepas sukarelawan yang menyertai prosedur itu dilaporkan jatuh sakit.

Difahamkan, ujian tersebut disambung semula di beberapa negara, namun masih dihentikan di AS.

Dalam perkembangan berkaitan, firma pengeluar ubat berpusat di New York, Pfizer dilaporkan memperluaskan ujian vaksin peringkat akhir ke atas golongan kanak-kanak seawal usia 12 tahun sebagai usaha untuk lebih memahami keselamatan dan keberkesanannya ke atas kumpulan usia berbeza.

Menurut firma tersebut, mereka telah mendapat kebenaran daripada Pentadbiran Makanan dan Ubat-ubatan (FDA) untuk melakukan ujian ke atas individu berusia antara 12 dan 15 tahun.

Pada bulan lalu, Pfizer menambah jumlah sukarelawan daripada 30,000 kepada 44,000 orang termasuk pesakit jangkitan kronik seperti hepatitis B, hepatitis C dan HIV. - Agensi

Artikel Berkaitan: