DBKL tutup taman awam, perpustakaan, fasiliti sukan

Penutupan sementara Taman Tasik Titiwangsa sepanjang PKPB. - Foto fail Bernama
Penutupan sementara Taman Tasik Titiwangsa sepanjang PKPB. - Foto fail Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Semua operasi fasiliti sukan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) akan ditutup sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang bermula esok hingga 27 Oktober ini.

DBKL menerusi kenyataan di Facebooknya hari ini memaklumkan, taman-taman awam DBKL termasuk Taman Botani Perdana, Taman Awam Bukit Kiara, Taman Tasik Titiwangsa, Taman Tasik Manjalara dan lain-lain turut akan ditutup bagi tempoh sama.

"DBKL turut melaksanakan penutupan bagi semua tandas awam di kawasan taman awam.

"Tandas awam dalam kawasan bandar di bawah seliaan DBKL pula akan dibuka seperti biasa," menurut makluman awam di Facebook DBKL hari ini.

Taman awam di bawah DBKL ditutup sepanjang PKPB.
Taman awam di bawah DBKL ditutup sepanjang PKPB.

Dalam perkembangan sama, DBKL turut memaklumkan yang semua perpustakaan cawangan akan ditutup kecuali Perpustakaan Kuala Lumpur dan Pustaka KL di Taman Tun Dr Ismail yang dibuka untuk pinjaman dan pemulangan buku sahaja.

Sementara itu, DBKL memaklumkan kaunter bayaran DBKL tidak terlibat dengan penutupan dalam tempoh PKPB.

"Kaunter bayaran DBKL di semua lokasi iaitu Menara 1, 2 dan 3 serta pejabat cawangan beroperasi seperti biasa dengan tahap pematuhan prosedur operasi standard (SOP) akan dipertingkatkan, " menurut kenyataan DBKL.

Artikel Berkaitan:

DBKL turut memaklumkan perkhidmatan suntikan tifoid dan meningitis akan beroperasi seperti biasa bermula jam 8.30 pagi-2 petang (Isnin-Khamis) dan 8.30 pagi-12.15 tengah hari (Jumaat).