Donald Trump kembali berkempen

Trump melemparkan pelitup muka ke arah penyokongnya sejurus beliau tiba pada perhimpunan 'Make America Great Again' di Lapangan Terbang Antarabangsa Orlando Sanford di Florida semalam. - Foto AFP
Trump melemparkan pelitup muka ke arah penyokongnya sejurus beliau tiba pada perhimpunan 'Make America Great Again' di Lapangan Terbang Antarabangsa Orlando Sanford di Florida semalam. - Foto AFP
A
A
A

SANFORD - Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump kembali berkempen semalam kira-kira tiga minggu menjelang Pilihan Raya Presiden AS 2020 yang bakal berlangsung pada 3 November depan.

Beliau hadir di Lapangan Terbang Antarabangsa Orlando Sanford di Florida yang merupakan lokasi perhimpunan pertama daripada enam kempen yang dirancang pada minggu ini kira-kira 11 hari selepas bilionair hartanah terbabit didiagnos positif koronavirus (Covid-19).

Perhimpunan tersebut diadakan beberapa jam selepas Rumah Putih mengumumkan ujian yang dilakukan ke atasnya menunjukkan keputusan negatif untuk tempoh dua hari berturut-turut dan beliau juga tidak lagi berisiko menjangkiti individu lain.

Difahamkan, ia adalah keputusan negatif pertama sejak beliau disahkan positif Covid-19 pada 2 Oktober lalu, namun doktor Rumah Putih, Dr Sean Conley tidak menyatakan tarikh sebenar ujian tersebut dijalankan.

ARTIKEL BERKAITAN: Trump disahkan negatif Covid-19

Trump sekali lagi menanggalkan pelitup mukanya dan melemparkan ke arah ribuan penyokongnya yang tidak melaksanakan jarak fizikal dan kebanyakannya juga gagal memakai pelitup muka.

"Saya sudah melalui fasa itu. Mereka kata saya kini kebal terhadap virus tersebut. Saya rasa sangat hebat," katanya dengan angkuh.

Trump, 74, yang berusaha untuk mengekalkan jawatannya di Rumah Putih cuba untuk memancing undi selepas keputusan kaji selidik menunjukkan beliau kehilangan sokongan di kerusi panas di beberapa negeri yang kini dikuasai pesaingnya daripada parti Demokrat, Joe Biden.

Artikel Berkaitan:

Ketika berucap di perhimpunan pertama beliau sejak dibenarkan discaj dari hospital seminggu lalu, Presiden ke-45 AS itu juga tidak mengubah pendirian beliau tentang ancaman virus tersebut yang telah menjangkiti lebih 7.8 juta di AS.

Beliau menyatakan langkah lockdown untuk membendung penularan wabak itu telah memberi impak besar kepada ekonomi negara tersebut dan didakwa terlalu drastik.

Ketika ini, pengkritik turut menyelar Trump kerana gagal menggalakkan kakitangan Rumah Putih dan para penyokongnya untuk memakai pelitup muka dan mematuhi garis panduan jarak sosial walaupun ancaman pandemik itu masih tinggi di AS.

Kelmarin, ciapan Trump dikenakan label 'flag' oleh Twitter selepas didakwa melanggar peraturan laman blog mikro tersebut gara-gara menyatakan beliau kini kebal kepada Covid-19.

Dalam perkembangan lain, lebih 10.3 juta rakyat Amerika dilaporkan telah menunaikan tanggungjawab mereka pada pengundian awal Pilihan Raya Presiden AS 2020.

Tinjauan terbaharu menunjukkan jumlah pengundian awal adalah lebih tinggi berbanding 2016 yang didorong oleh lonjakan undi pos kerana bimbang dengan ancaman Covid-19. - Agensi