KKM tegur rakyat 'lari' daripada PKPB

Dr Noor Hisham Abdullah
Dr Noor Hisham Abdullah
A
A
A

PUTRAJAYA - Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menegur sikap sesetengah individu yang melarikan diri dan keluarga daripada pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dengan pulang ke kampung.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, pelaksanaan PKPB adalah untuk memastikan rakyat duduk di rumah dalam usaha memutuskan rantaian penularan Covid-19.

"Bahaya pulang ke kampung kerana kita tidak pasti sama ada kita pembawa virus tersebut atau tidak," katanya pada sidang media di sini hari ini.

Menurutnya, orang tua lebih terkesan dengan pandemik itu sepatutnya dilindungi daripada dijangkiti Covid-19.

"Adalah tanggungjawab kita bersama untuk pastikan tidak bawa virus ini ke kampung," katanya.

Beliau berkata demikian mengulas mengenai tindakan segelintir pihak yang mengambil kesempatan untuk pulang ke kampung bagi 'melarikan diri' daripada PKPB yang bermula tengah malam ini.

Beliau berkata, individu yang telah pulang ke kampung perlu berada di dalam rumah bagi memastikan matlamat memutuskan rantaian Covid-19 dapat dicapai.

"Pelaksanaan PKPB adalah untuk pastikan lebih ramai rakyat duduk di rumah.

Artikel Berkaitan:

"Sekiranya terpaksa keluar, sila pastikan prosedur operasi standard (SOP) diamalkan dengan jarak fizikal satu meter," katanya.

Dr Noor Hisham berkata, keputusan kerajaan untuk membenarkan sektor ekonomi diteruskan pada PKPB adalah merupakan usaha mengimbangi antara ekonomi dan kesihatan.

"Kita sedaya upaya untuk mencapai keseimbangan antara nyawa dan mata pencarian," katanya.

Sementara itu, ditanya mengenai unjuran KKM pada pelaksanaan PKPB, beliau berkata, ia terlalu awal untuk kementerian mendapatkan unjuran.

"Dalam intervensi kesihatan awam, kita perlukan paling kurang seminggu untuk membuat unjuran," katanya.

Tambahnya, pengalaman pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan PKPB yang lepas telah berjaya melandaikan lengkungan kepada sifat jangkitan.

"KKM akan membuat pemantauan rapi," katanya.