PKPB: Individu bertugas dibenar rentas daerah, negeri

Individu yang bertugas dibenarkan merentas daerah dan negeri dengan syarat mempunyai pas pekerja yang sah atau surat kebenaran daripada majikan.
Individu yang bertugas dibenarkan merentas daerah dan negeri dengan syarat mempunyai pas pekerja yang sah atau surat kebenaran daripada majikan.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya berkuat kuasa 12.01 tengah malam ini, individu yang bertugas dibenarkan merentas daerah dan negeri dengan syarat mempunyai pas pekerja yang sah atau surat kebenaran daripada majikan.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, bagi yang perlu melalui negeri Selangor dan Kuala Lumpur ke negeri-negeri lain mereka dinasihatkan mendapatkan kebenaran daripada balai polis berhampiran sebelum membuat perjalanan.

"Bagi pekerja dari dalam daerah yang sama, mereka tidak perlu mengemukakan surat majikan atau pas pekerja. Individu yang menggunakan pergerakan udara melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), KLIA2 dan Subang, mereka juga perlu mendapatkan kebenaran daripada Polis Diraja Malaysia.

"Bagaimanapun, kerajaan menggalakkan majikan membenarkan pekerja-pekerja mereka untuk bekerja dari rumah," katanya pada sidang media secara maya menerusi Facebook Kementerian Pertahanan.

Ismail Sabri dalam sidang media semalam mengumumkan pelaksanaan PKPB di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya berkuat kuasa 12.01 tengah malam 14 Oktober hingga 27 Oktober selepas mendapat nasihat Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan mengambil kira peningkatan kes serta penularan Covid-19 seperti di Klang, Daerah Petaling serta Gombak.

Bagi aktiviti keagamaan, Ismail Sabri berkata, mesyuarat bersetuju membenarkan laungan azan dan solat berjemaah diadakan dengan kehadiran enam orang jemaah yang ditentukan jawatankuasa masjid termasuk Imam.

"Pengurusan dan petugas di semua rumah ibadat bukan Islam juga dibenarkan seramai enam orang sahaja. Bagaimanapun, cadangan ini akan dibawa kepada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan pihak berkuasa agama negeri Selangor untuk dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah untuk diperkenankan.

"Keputusan lanjut akan diumumkan Jakim dan pihak berkuasa agama negeri Selangor dalam masa terdekat," katanya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, mengenai aktiviti ekonomi dalam kawasan PKPB, Ismail Sabri berkata, restoran, gerai makan, kenderaan bersaji, penjaja tepi jalan, penjaja beredar, medan selera, gerai makan tepi jalan atau kiosk, kedai runcit dan kedai serbaneka dibenarkan beroperasi antara 6 pagi hingga 10 malam berbanding kebenaran beroperasi sehingga 2 pagi sebelum ini.

"Pembelian makanan digalakkan secara pandu lalu, penghantaran atau take-away sahaja. Bagaimanapun makan di premis makanan adalah dibenarkan namun terhad kepada dua orang satu meja dengan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) sektor makanan.

"Operasi pasar harian adalah antara jam 6 pagi hingga 2 petang sahaja, operasi pasar borong adalah antara jam 4 pagi hingga 2 petang sahaja, operasi pasar tani antara jam 6 pagi hingga 12 tengah hari manakala operasi pasar malam antara jam 4 petang hingga 10 malam," katanya.

Memperincikan perkara itu, Ismail Sabri berkata, operasi pasar tani dan pasar malam perlu mematuhi SOP ketat yang telah ditetapkan dan perlu pengawasan anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia.

Bagi operasi stesen minyak di kawasan PKPB, Ismail Sabri berkata, ia dibenarkan beroperasi dari 6 pagi hingga 10 malam kecuali stesen minyak di lebuh raya yang dibenarkan beroperasi 24 jam.

Ismail Sabri berkata, bagi perkhidmatan pengangkutan awam seperi bas henti-henti, bas ekspres, sistem Transit Aliran Ringan, teksi atau e-hailing dibenarkan beroperasi dari jam 6 pagi hingga 12 tengah malam.

"Bagi perkhidmatan teksi atau e-hailing maksimum hanya dua orang penumpang dibenarkan," katanya.

Sementara itu, semua aktiviti riadah, rekreasi, budaya, pendidikan, seminar, bengkel, persidangan, mesyuarat, aktiviti pelancongan, penganjuran majlis keramaian termasuk majlis perkahwinan tidak dibenarkan. - Bernama