Covid-19: 660 kes baharu hari ini

Dr Noor Hisham Abdullah - Foto Bernama
Dr Noor Hisham Abdullah - Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - [DIKEMASKINI] Terdapat 660 kes baharu positif koronavirus (Covid-19) dilaporkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) hari ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, daripada jumlah itu, dua merupakan kes import manakala 658 lagi adalah penularan dalam negara.

"Ini menjadikan jumlah keseluruhan kes positif Covid-19 sebanyak 16,880 kes dengan 5,345 kes aktif," katanya pada sidang media di sini hari ini.

Menurutnya, sehingga kini, terdapat 101 kes positif Covid-19 sedang dirawat di unit rawatan rapi (ICU) dan daripada jumlah itu, 32 kes memerlukan bantuan pernafasan.

"Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat (CPRC) Kebangsaan menerima laporan empat kes kematian berkaitan Covid-19 dengan jumlah kumulatif kes kematian meningkat kepada 163.

"Berdasarkan data yang dikeluarkan KKM, kes kematian tersebut melibatkan dua lelaki dan dua wanita yang berumur antara 36 hingga 84 tahun. Kesemua kes dirawat di hospital di Sabah mempunyai latar belakang penyakit lain seperti darah tinggi dan buah pinggang kronik," katanya.

Dr Noor Hisham berkata, sebanyak 350 kes telah pulih dan didiscaj hari ini dan ia merupakan jumlah tertinggi sejak permulaan pandemik di Malaysia.

Mengulas lanjut mengenai kes baharu positif Covid-19, beliau berkata, Sabah kekal negeri tertinggi merekodkan kes baharu dengan 443 diikuti Selangor (76 kes), Kedah (60), Pulau Pinang (23), Labuan (18) dan Perak (16).

Artikel Berkaitan:

"Kuala Lumpur mencatatkan sembilan kes, Negeri Sembilan dua kes dan Pahang satu kes," katanya.

Sementara itu, katanya, enam kluster baharu Covid-19 dikenal pasti melibatkan tiga negeri iaitu Sabah, Selangor dan Pulau Pinang.

"Di Sabah, empat kluster dikesan iaitu Kluster Semarak dan Sabindo di Tawau, Kluster Bina di Beaufort serta Kluster Bestari di Sandakan.

"Di Selangor, Kluster Bah Kenangan dikenal pasti di Hulu Langat selepas kes indeks iaitu kes ke-11,802 yang pulang dari Sabah disahkan positif pada 2 Oktober.

"Saringan kontak rapat terhadap 38 individu mendapati 17 lagi kes positif Covid-19," katanya.

Menurutnya, Kluster Penjara Jawi dikenal pasti di Seberang Perai Selatan, Pulau Pinang.

"Tiga tahanan telah dikenal pasti positif Covid-19 hasil saringan kemasukan dari Penjara Reman Timur Laut pada 11 Oktober.

"Mereka semua tidak bergejala dan telah dimasukkan ke pusat rawatan berisiko rendah. Sehingga kini, seramai 226 individu daripada kluster berkenaan disaring.

"Tiga disahkan positif, 61 individu negatif manakala 162 masih menunggu keputusan," katanya.

Pada perkembangan sama, Dr Noor Hisham berkata, sejak 22 September lalu, sebanyak 394 kes positif dikesan melibatkan individu yang mempunyai sejarah perjalanan ke Sabah.

"Daripada jumlah itu, 228 kes adalah dalam kalangan pengunjung yang tiba sebelum 27 September, manakala 166 kes lagi tiba selepas 27 September.

"Secara keseluruhan sehingga hari ini, seramai 18,478 individu dengan sejarah perjalanan pulang dari Sabah telah disaring di semua pintu masuk antarabangsa dan domestik," katanya.