Sukan tidak bersentuhan, latihan atlet dibenarkan

Program latihan berpusat bagi atlet yang sedang dilaksana oleh Majlis Sukan Negara (MSN) dan Majlis Sukan Negeri-negeri boleh diteruskan secara tertutup dan terkawal. - Foto Bernama
Program latihan berpusat bagi atlet yang sedang dilaksana oleh Majlis Sukan Negara (MSN) dan Majlis Sukan Negeri-negeri boleh diteruskan secara tertutup dan terkawal. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Aktiviti sukan tidak bersentuhan dan program latihan berpusat bagi atlet masih dibenarkan di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) bermula 12.01 tengah malam ini.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, aktiviti sukan secara individu, e-sukan, sukan yang tidak bersentuhan dan sukan di kawasan terbuka yang tidak melebihi 10 orang dibenarkan.

Program latihan berpusat bagi atlet yang sedang dilaksana oleh Majlis Sukan Negara (MSN) dan Majlis Sukan Negeri-negeri boleh diteruskan secara tertutup dan terkawal seperti dilaksana di Kompleks MSN Bukit Jalil dan Keramat; Akademi Badminton Malaysia (ABM), Bukit Kiara; dan Pusat Kecemerlangan Sukan Paralimpik Kampung Pandan.

Bagaimanapun, Ismail Sabri menegaskan bahawa semua aktiviti kolam renang, bersentuhan fizikal, sukan bertempur dan penganjuran sukan atau kejohanan tidak dibenarkan semasa tempoh PKPB bagi membendung penularan wabak Covid-19.

“Acara dan pertandingan sukan dengan kehadiran penonton serta acara dan pertandingan sukan yang melibatkan peserta dari luar negeri tidak dibenarkan. Semua aktiviti riadah, rekreasi dan budaya adalah tidak dibenarkan.

“Aktiviti hiburan termasuk kelab malam atau pub, pusat rekreasi, taman tema, 'indoor playground' dan panggung wayang juga tidak dibenarkan,” katanya pada sidang media secara maya menerusi Facebook Kementerian Pertahanan hari ini.

Sementara itu, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menerusi kenyataan menjelaskan bahawa aktiviti seperti berjalan, ‘jogging’, berbasikal, senamrobik kendiri dan lain-lain yang dilakukan di kawasan terbuka antara yang dibenarkan kepada orang ramai di kawasan PKPB Sabah, Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya.

“Penggiat sukan dan rekreasi termasuk pemilik dan operator fasiliti seperti padang bola sepak, kompleks sukan, dewan badminton, gimnasium, kolam renang, pusat rekreasi dan sebagainya dalam negeri dan kawasan PKPB perlu mematuhi arahan yang ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara untuk menangguh dan menjadualkan semula semua aktiviti sukan dan rekreasi masing-masing.

Artikel Berkaitan:

“Operasi fasiliti sukan dan rekreasi juga hendaklah ditutup secara sementara sepanjang tempoh PKPB ini. Di daerah atau negeri lain, program serta acara sukan dan rekreasi boleh diteruskan dengan mematuhi SOP yang sedang berkuat kuasa. Ini untuk kita sama-sama membantu memutuskan rantaian penularan pandemik ini,” menurut kenyataan itu. - Bernama