Mayat bayi dilumur garam, disorok dalam guni bawah dapur

Polis menemui mayat seorang bayi berumur lapan bulan dalam keadaan menyayat hati dengan badannya dilumur garam dan dimasukkan ke dalam guni yang disorokkan di bawah meja di bahagian dapur, dipercayai dibunuh oleh bapa kandungnya sendiri di Kampung Sungai Dua, Melawi di sini, pagi tadi.
Polis menemui mayat seorang bayi berumur lapan bulan dalam keadaan menyayat hati dengan badannya dilumur garam dan dimasukkan ke dalam guni yang disorokkan di bawah meja di bahagian dapur, dipercayai dibunuh oleh bapa kandungnya sendiri di Kampung Sungai Dua, Melawi di sini, pagi tadi.
A
A
A

BACHOK - Seorang bayi lelaki ditemui mati dalam keadaan menyayat hati dalam sebuah guni dengan seluruh tubuh dilumur garam kasar dipercayai dibunuh bapa kandungnya sendiri di Kampung Sungai Dua di sini hari ini.

Mayat bayi berkenaan, Wan Mohamad Afiq Zafwan Wan Roslan yang berusia lapan bulan turut mengalami kesan menggelupas pada kulit leher kiri dan kanan serta lebam pada badan.

Ketua Polis daerah, Deputi Superintendan Samsulmuddin Sulaiman berkata, polis menerima maklumat daripada seorang lelaki berusia 50 tahun (pengadu) yang datang ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bachok pada jam 10.45 pagi tadi.

Menurutnya, dalam kejadian itu, suspek yang berusia 40 tahun dipercayai menghidap masalah mental bertindak mengurung isterinya, Nor Hanifah Mohamad, 32, dalam sebuah bilik.

“Suspek kemudian menghubungi pengadu meminta datang ke rumah untuk melihat keadaan anaknya.

“Pengadu bagaimanapun bertindak ke balai polis dan memaklumkan perkara itu sebelum sepasukan anggota polis terus ke lokasi kejadian untuk menjalankan siasatan,” katanya hari ini.

Samsulmuddin berkata, sebaik tiba polis mendapati pintu rumah berkunci dari dalam dan terpaksa memecahkannya.

“Siasatan di dalam rumah menemui pasangan suami isteri dalam sebuah bilik.

Artikel Berkaitan:

“Wanita yang juga ibu bayi berkenaan mengalami lebam pada kedua-dua tangan dibawa ke Klinik Kesihatan Bachok untuk mendapatkan rawatan.

“Pemeriksaan lanjut di ruang dapur menemui bayi berkenaan dalam guni yang disembunyikan di sebuah rak dan pemeriksaan mendapati dia sudah meninggal dunia,” katanya.

Menurut beliau, berdasarkan siasatan awal bayi tersebut dipercayai meninggal dunia dalam tempoh 12 jam sebelum ditemui.

“Susulan itu, polis menahan bapa mangsa dan akan mendapat perintah reman di Mahkamah Majistret Bachok esok bagi tujuan siasatan lanjut manakala mayat bayi dihantar ke Hospital Raja Perempuan II (HRPZ II) Kota Bharu untuk bedah siasat.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh dan boleh dihukum mati mandatori jika sabit kesalahan,” katanya.