Cadangan balas kepada MKN bukan keputusan unilateral, kata Amirudin

Amirudin Shari
Amirudin Shari
A
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan Selangor telah menyerahkan cadangan balas kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN) berhubung pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di negeri ini hari ini.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, cadangan balas kepada MKN itu bukannnya keputusan unilateral, namun atas nasihat-nasihat pihak berkaitan antaranya Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan lain-lain.

Beliau berkata, apa yang disuarakan beliau semalam hanyalah merupakan cadangan memandangkan terdapat beberapa lokaliti di negeri ini masih terkawal.

"Sebagai contoh, di daerah Kuala Selangor, kawasan Saujana Utama terdapat satu kes dan ia berada di hujung daerah berkenaan.

"Jadi jika buat PKPB, tidak adil buat semua orang Tanjung Karang, Ijok dan Bukit Melawati.

"Kita ada alasan-alasan tertentu (untuk beri cadangan balas) seperti yang dinasihatkan JKNS dan lain-lain," katanya pada sidang media selepas Majlis Menandatangani Perjanjian Kontrak Penajaan Liga Bola Keranjang Komuniti Kebangsaan (NCBL) 2021.

Semalam, Amirudin mendakwa pengumuman PKPB di seluruh negeri ini agak mengejutkan berikutan keputusan mesyuarat MKN Selangor bersama beberapa agensi terdahulu menunjukkan hanya daerah Klang, Gombak, Hulu Langat dan sebahagian Petaling mempunyai bilangan kes yang membimbangkan.

Malah Amirudin berkata, beliau yang telah mempengerusikan mesyuarat berkenaan bersama JKNS, PDRM, ATM dan dan lain-lain agensi telah memutuskan untuk pelaksanaan PKPB di daerah Petaling.

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah semalam memaklumkan pelaksanaan PKPB itu perlu dikuatkuasakan di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya selepas kes baharu dilaporkan adalah konsisten di tiga tempat berkenaan pada setiap hari.

Dalam pada itu, Amirudin turut mengakui pelaksanaan PKPB adalah di bawah bidang kuasa kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri hanya boleh memberikan cadangan-cadangan berhubung penguatkuasaan perintah itu.

"Walau apapun, kita akan cuba selaraskan dengan arahan kerajaan Persekutuan malah hubungan saya dengan mereka juga baik-baik sahaja," katanya.