Sanggup ambil risiko guna laluan tikus seludup ketum

Azhari (kiri) bersama pegawai PGA Batalion 7 menunjukkan sebahagian daripada ketum bernilai RM3,300 yang dirampas di Tanah Merah hari ini.
Azhari (kiri) bersama pegawai PGA Batalion 7 menunjukkan sebahagian daripada ketum bernilai RM3,300 yang dirampas di Tanah Merah hari ini.
A
A
A

RANTAU PANJANG - Penyeludup daun ketum di negeri ini sanggup mengambil risiko dengan membawa barang larangan itu dari utara tanah air untuk diseludup ke Thailand menggunakan 'laluan tikus' di sepanjang kawasan Sungai Golok demi memperoleh keuntungan lumayan.

Pegawai Pemerintah Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 7 Kuantan, Superintendan Azhari Nusi mendedahkan, keuntungan lumayan itu diraih menerusi harga tinggi selain permintaan 'luar biasa' di negara berkenaan.

"Harga sekilogram ketum yang dijual ke Thailand boleh mencecah sehingga RM150 dan ia jauh lebih tinggi berbanding pasaran tempatan.

"Jika di kawasan utara harganya sekitar RM10 hingga RM20 sahaja, sampai ke Kelantan ia naik kepada RM30 sekilogram jika dipasarkan di dalam negeri," katanya kepada pemberita di Markas Taktikal PGA di Lubok Stol, di sini hari ini.

Menurutnya, perbezaan harga itu menyebabkan penyeludup sanggup mengambil risiko dengan melakukan kegiatan haram itu.

Beliau berkata, bagaimanapun PGA Batalion 7 sentiasa memperketatkan kawalan dalam usaha mengekang aktiviti jenayah rentas sempadan ini.

Azhari berkata, semalam PGA Batalion 7 menggagalkan cubaan menyeludup 111 kilogram (kg) daun ketum ke Thailand dalam dua serbuan berasingan di Tanah Merah.

"Serbuan pertama di kawasan kebun getah dekat Kampung Jedok, Tanah Merah pada jam 7.20 malam yang membawa kepada rampasan ketum seberat 17 kg.

Artikel Berkaitan:

"Pada jam 9 malam, anggota PGA Batalion 7 sekali lagi merampas 94 kg daun ketum di dalam sebuah bangsal di kampung yang sama.

"Rampasan itu membabitkan nilai RM3,300 dan siasatan awal mendapati ketum-ketum itu akan diseludup menggunakan laluan tikus.

"Penyeludup ini menggunakan modus operandi dengan membawa daun-daun ketum dalam kuantiti yang sedikit dan disimpan di satu kawasan tertentu.

"Selepas itu mereka akan seludup daun-daun ketum tersebut menggunakan laluan haram untuk dibawa ke Thailand," katanya.