Enam keluarga terjejas banjir di Ulu Pauh, Arau

Hujan sejak awal pagi tadi menyebabkan banjir kilat di sekitar Ulu Pauh dekat sini petang ini. - Foto FB Rozieana Ahmad
Hujan sejak awal pagi tadi menyebabkan banjir kilat di sekitar Ulu Pauh dekat sini petang ini. - Foto FB Rozieana Ahmad
A
A
A

ARAU- Hujan tanpa henti sejak awal pagi tadi menyebabkan banjir kilat di sekitar Ulu Pauh dekat sini petang ini, apabila air naik secara mendadak hingga ke paras lutut.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan negeri, Rozieana Ahmad berkata, pihaknya telah mengambil langkah berjaga-jaga membuat persiapan bagi membuka Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Dewan Sivik Arau bagi menempatkan 34 individu daripada enam keluarga, sekiranya keadaan banjir bertambah buruk.

“Sehingga kini semua enam keluarga yang terjejas masih berada di rumah masing-masing dan belum dipindahkan ke mana-mana PPS, kami telah meminta mereka untuk bersedia untuk berpindah jika keadaan bertambah buruk,” katanya kepada Bernama ketika melakukan tinjauan keadaan banjir kilat di Kampung Lalang dekat sini hari ini.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pauh meminta orang ramai khususnya di Kampung Alor Setar, Lembaga Penyatuan dan Pemulihan Tanah Persekutuan (Felcra) Ulu Pauh, Kampung Rambai dan bandar Arau serta beberapa kawasan berdekatan membuat persiapan awal bagi menghadapi banjir.

“Sebagai bantuan awal, kerajaan negeri menerusi Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Perlis telah mengedarkan kit bantuan awal banjir bagi meringankan beban penduduk yang terjejas,” katanya.

Rozieana Ahmad
Rozieana Ahmad

Sementara itu, Pengarah Jabatan Perhutanan Perlis, Awang Shaffie Awang Ahmadni ketika dihubungi Bernama memaklumkan bahawa Pusat Rekreasi Gua Kelam dan Bukit Ayer ditutup sejak semalam berikutan peningkatan paras air di kawasan tersebut.

“Kami tutup untuk satu tempoh masa kerana bimbang air deras boleh membahayakan orang ramai dan akan dibuka kembali Gua Kelam apabila keadaan selamat,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Katanya, pihaknya akan terus melakukan pemantauan dari masa ke masa dan orang ramai boleh mendapat perkembangan terkini Pusat Rekreasi Gua Kelam di laman Facebook Jabatan Perhutanan Negeri Perlis. - Bernama