Tiga individu ditahan di bawah POCA

Nik Ros Azhan
Nik Ros Azhan
A
A
A
KUALA LUMPUR - [DIKEMASKINI] Seramai tiga individu yang disyaki terlibat dengan sindiket perjudian dalam talian akan ditahan di bawah Akta Pencegahan Jenayah 1959 (POCA).

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kuala Lumpur, Senior Asisten Komisioner Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid berkata, kesemua individu itu akan ditahan hari ini untuk membantu siasatan terhadap sindiket perjudian di Cheras.

"Kita akan menahan mereka di bawah POCA untuk siasatan lanjut," katanya ketika dihubungi Sinar Harian hari ini.

Sementara itu, sumber SPRM memaklumkan individu yang dikatakan melarikan diri selepas dilepas reman Suruhanjaya Pencegahan Rasuah bukan bergelar Datuk Seri.

Menurut sumber itu, suspek telah selesai proses jaminan SPRM dan diserahkan kepada penjamin, namun dia dikatakan telah lolos ketika hendak ditahan semula polis untuk tindakan di bawah POCA.

"Kita yakin individu itu akan dapat ditahan semula dalam tempoh terdekat," katanya.

Dalam kenyataan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed memaklumkan polis memberkas tiga individu yang sebelum ini ditahan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Terdahulu, media melaporkan baki sembilan tahanan reman kes siasatan pengubahan wang haram oleh SPRM termasuk dalang Macau Scam dibebaskan dengan jaminan petang semalam.

Bagaimanapun, lapan daripada mereka kemudian ditahan semula JSJ Bukit Aman untuk siasatan lanjut.

Artikel Berkaitan:

Sebelum ini Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Azam Baki mengesahkan penahanan 20 individu termasuk lapan pegawai polis dan seorang warga China, selain akan membuat beberapa siri tangkapan lain.

Setakat ini, SPRM sudah membekukan lebih RM80 juta daripada 730 akaun bank dan menyita wang tunai RM5 juta.

Selain itu, SPRM turut merampas 23 kenderaan mewah pelbagai jenama serta motosikal berkuasa tinggi yang dipercayai dibeli hasil daripada aktiviti judi dalam talian tempatan.

Sindiket cuci wang itu dipercayai melaburkan wang daripada aktiviti kegiatan berkenaan ke dalam perniagaan yang dijalankan oleh selebriti dan personaliti terkenal tanah air serta usahawan kosmetik tempatan.