'Hentikan penipuan, Anwar patut bersara daripada politik'

Kenyataan Wan Saiful yang menyarankan Anwar untuk bersara dalam politik
Kenyataan Wan Saiful yang menyarankan Anwar untuk bersara dalam politik
A
A
A

SHAH ALAM - Dakwaan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim yang kononnya mempunyai sokongan majoriti untuk menggulingkan kerajaan hanyalah sekadar satu lagi episod pembohongan kepada rakyat.

Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu (Bersatu), Wan Saiful Wan Jan berkata, Anwar patut bersara sahaja daripada politik negara dan benarkan tokoh lain mengambil alih kepimpinan pembangkang agar pembangkang di negara ini boleh menjadi pembangkang yang konstruktif.

Menurutnya, ini bukan kali pertama Anwar cuba menggugat kestabilan kerajaan dengan penipuan yang sama.

"Tindakan Anwar dilihat sebagai strategi terdesak dan lebih kepada cita-cita peribadi sahaja tanpa memikirkan kesan ketidakstabilan politik kepada ekonomi negara dan kebajikan rakyat.

"Apa yang dilakukan menunjukkan beliau semakin lama semakin terpisah daripada denyut nadi rakyat yang mahukan kestabilan," katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Tegasnya, hari ini ternyata Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin kekal mempunyai sokongan untuk terus memimpin kerajaan Perikatan Nasional (PN).

"Malah seluruh jentera dan organisasi Bersatu kekal menyokong kepimpinan Muhyiddin dalam rangka memastikan kebajikan rakyat terjaga dan ekonomi negara dapat dibina semula," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN Agong tidak terima senarai nama Ahli Parlimen sokong Anwar

Beri ruang Agong sahkan senarai majoriti ahli Parlimen: Anwar

Terdahulu, Anwar menghadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara hari ini bagi mempersembahkan keterangan lengkap mengenai jumlah majoriti Ahli Parlimen yang didakwa menyokongnya seperti dinyatakan ketika sidang akhbarnya pada 23 September lalu.

Artikel Berkaitan:

Susulan itu itu, satu kenyataan akhbar turut dikeluarkan Istana Negara oleh Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Indera Ahmad Fadil Shamsuddin yang memaklumkan, dalam sesi menghadap yang berlangsung selama 25 minit itu, Anwar telah mengemukakan jumlah Ahli-ahli Dewan Rakyat yang didakwa memberi sokongan kepada beliau tetapi tidak mengemukakan senarai nama Ahli-ahli Dewan Rakyat untuk mengukuhkan dakwaan tersebut.

Katanya, susulan itu, Seri Paduka Baginda menasihati Anwar untuk akur dan menghormati proses-proses perundangan seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.