X

Kindly register in order to view this article
!

NGO di Perak buat laporan polis terhadap Lokman Adam

Yushairil Iswan menunjukkan laporan polis yang dibuat terhadap Lokman Adam di Balai Polis Sungai Senam hari ini.
A
A

IPOH - Penggerak Komuniti Negara Parlimen Padang Rengas membuat laporan polis terhadap bekas Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Lokman Noor Adam berhubung kenyataannya mengenai peralihan kuasa kerajaan yang didakwa menghina Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustaffa Billah Shah.

Pengerusinya, Yushairil Iswan Ahmad Rohaini berkata, kenyataan dalam klip video berdurasi 27 minit di YouTube itu jelas mengaibkan Yang di-Pertuan Agong apabila menyatakan sama ada Seri Paduka Baginda merestui dan membenarkan peralihan kuasa secara pintu belakang sekali lagi.

"Bermula minit 6.29, beliau mengulangi kenyataan beberapa kali bahawa pelantikan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang dilakukan Seri Paduka Baginda pada 29 Februari lalu sebagai pelantikan secara pintu belakang.

"Kenyataan ini satu penghinaan kepada Yang di-Pertuan Agong sebagai pemimpin tertinggi negara ketika semua rakyat menyaksikan bagaimana proses panjang dilakukan Seri Paduka Baginda sebelum melantik Perdana Menteri," katanya.

Tangkap layar video Lokman Adam yang dikatakan menghina Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustaffa Billah Shah.
Tangkap layar video Lokman Adam yang dikatakan menghina Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustaffa Billah Shah.

Beliau ditemui pemberita selepas membuat laporan polis di Balai Polis Sungai Senam di sini, hari ini.

Menurutnya, laporan itu antara lain menggesa siasatan dan tindakan diambil terhadap Lokman agar kenyataan sama tidak diulangi pihak lain.

"Kita mewakili Penggerak Komuniti Negara di Perak mengutuk sekeras-kerasnya kenyataan dibuat itu kerana ia melambangkan keperibadian yang tidak menghormati sistem raja berperlembagaan," katanya.

Video klip bertajuk 13 Oktober, tragedi tumbangnya kerajaan Muhyiddin? itu dimuat naik menerusi akaun YouTube Lokman Adam, dua hari lalu dan sehingga kini ditonton 7,600 pelayar.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!