X

Kindly register in order to view this article
!

Pemuda UMNO minta Anwar hentikan sandiwara

Kenyataan dimuat naik Asyraf di Facebooknya hari ini., Asyraf Wajdi Dusuki
A
A

SHAH ALAM - Pemuda UMNO hari ini meminta Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim segera menghentikan 'sandiwara' sebaliknya memberi fokus terhadap kesusahan rakyat.

Ketuanya, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, rakyat sekali lagi diheret dengan 'sandiwara' Anwar apabila Presiden PKR itu mendakwa mempunyai sokongan yang cukup untuk menjadi Perdana Menteri.

Bagaimanapun, katanya, pihak Istana Negara dalam satu kenyataan mendedahkan bahawa Anwar sebenarnya tidak mengemukakan senarai nama ahli-ahli Dewan Rakyat untuk mengukuhkan dakwaannya itu.

"Habis satu Malaysia bergegar kerana seorang manusia yang beria-ia nak jadi Perdana Menteri. Cukup-cukuplah bersandiwara, fokuslah agenda bantu rakyat yang sedang resah, susah dan gelisah," katanya di laman Facebooknya sebentar tadi.

Terdahulu, Anwar berkata, beliau memberi ruang kepada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah untuk meneliti senarai lebih 120 ahli Parlimen yang telah dikemukakan.

Senarai Ahli Parlimen itu, katanya, adalah yang memberi sokongan kepada beliau sebelum memperkenankan permohonan pembentukan kerajaan baharu bagi menggantikan kerajaan Perikatan Nasional (PN) kelak.

Anwar menjelaskan beliau sudah mengemukakan dokumen sahih termasuk surat akuan bersumpah (SD) dan dokumen pengesahan ketua-ketua parti bagi menunjukkan bukti sokongan yang dinyatakan.

Bagaimanapun, kenyataan Istana Negara selepas itu memaklumkan bahawa Anwar tidak mengemukakan senarai nama ahli-ahli Dewan Rakyat sebaliknya hanya memaklumkan mengenai jumlah sokongan diterima.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!