X

Kindly register in order to view this article
!

Nelayan miliki dadah dipenjara 12 tahun

Tertuduh dipenjara 12 tahun selepas mengaku salah miliki dadah di Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu hari ini.
A
A

KUALA TERENGGANU- Seorang nelayan dijatuhi hukuman penjara 12 tahun di Mahkamah Tinggi di sini hari ini selepas mengaku salah memiliki dadah tahun lalu.

Tertuduh, Mustafa Mohammad, 60, sebelum ini berdepan Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 39B(2) akta sama yang membawa kepada hukuman gantung jika sabit kesalahan.

Bagaimanapun, tertuduh menarik nafas lega selepas permohonan representasi yang dimohon melalui peguam belanya, Mazlan Md Zain dibenarkan Jabatan Peguam Negara sebelum ditawarkan pertuduhan pilihan mengikut Seksyen 12 (2) yang membawa hukuman mengikut Seksyen 39A(2) akta sama.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa memiliki dadah jenis heroin seberat 20.75 gram di belakang sebuah rumah di Kampung Gong Balai, Merchang, Marang, jam 11.30 pagi pada 19 Disember 2019.

Tertuduh yang berdepan hukuman mengikut Seksyen 39A(2) akta sama berdepan hukuman penjara seumur hidup atau satu tempoh yang tidak kurang lima tahun dan sebatan tidak kurang 10 sebatan, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Amer Abu Bakar Abdullah menghujahkan hukuman sebatan yang dikecualikan terhadap tertuduh digantikan dengan hukuman penjara yang lebih lama memandangkan tertuduh mempunyai lima rekod lampau berkaitan dadah.

Tertuduh dikecualikan daripada hukuman sebatan mengikut Seksyen 289 (c) Tatacara Jenayah yang menyatakan tertuduh berusia 50 tahun ke atas dikecualikan daripada sebatan.

Selain itu, tertuduh turut berdepan dua lagi pertuduhan mengikut Seksyen 12 (2) akta sama yang membawa kepada hukuman mengikut Seksyen 12 (3) akta sama.

Mengikut pertuduhan kedua dan ketiga, tertuduh didakwa memiliki dadah jenis methamphetamine seberat 3.13 gram serta 0.4 mililiter dadah mengandungi heroin dan monoacetylmorphines.

Bagi pertuduhan keempat, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 30 (3) Akta Racun 1952 kerana memiliki racun jenis etizolam seberat 1.81 gram.

Hakim Datuk Abdul Wahab Mohamed menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun bagi pertuduhan pertama.

Bagi pertuduhan kedua dan ketiga, mahkamah menjatuhkan hukuman penjara empat tahun bagi setiap pertuduhan manakala tertuduh dijatuhi hukuman penjara tiga tahun bagi pertuduhan keempat.

Bagaimanapun, Abdul Wahab mengarahkan hukuman penjara berjalan serentak daripada tarikh tertuduh ditangkap iaitu pada 19 Disember 2019.

Mengikut fakta kes, tertuduh yang berada di belakang sebuah rumah ditahan selepas berada dalam keadaan mencurigakan sebelum pemeriksaan dadah.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!