X

Kindly register in order to view this article
!

Mahkamah benar permohonan Zahid buang sebahagian keterangan saksi

Ahmad Zahid berdepan 47 pertuduhan dengan 12 daripadanya membabitkan pecah amanah, lapan rasuah dan 27 pengubahan wang haram membabitkan puluhan juta ringgit dana milik Yayasan Akalbudi. Foto Bernama
A
A

KUALA LUMPUR - Mahkamah Tinggi hari ini membenarkan permohonan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi untuk mengeluarkan keterangan bersifat ‘pendapat’ dan ‘kesimpulan’ daripada pernyataan saksi pegawai penyiasat dalam perbicaraan kes dihadapi bekas Timbalan Perdana Menteri itu.

Hakim Collin Lawrence Sequerah membuat keputusan itu selepas mendapati lapan perenggan dalam pernyataan saksi pegawai penyiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Fairul Rafiq Hamiruddin bersifat prejudis kepada Ahmad Zahid.

“Mahkamah juga bersetuju bahawa apa sahaja yang berbentuk pendapat dan kesimpulan daripada keterangan-keterangan pegawai penyiasat ke-89 itu perlu dikeluarkan secara keseluruhannya.

“Perintah ini juga terpakai untuk semua pernyataan saksi pegawai penyiasat lain,” katanya selepas mendengar hujahan dari kedua-dua belah pihak.

Terdahulu, peguam Hisyam Teh Poh Teik yang mewakili Ahmad Zahid dalam hujahannya berkata keterangan bertulis pegawai penyiasat SPRM yang secara terus menyatakan Ahmad Zahid telah menerima atau melakukan rasuah sedangkan hanya mahkamah sahaja yang boleh tentukan sama ada sesuatu kesalahan itu dilakukan.

“Pada perenggan ke-37 keterangan Fairul Rafiq menyatakan ‘oleh yang demikian, saya menyatakan bahawa tertuduh sebagai Menteri Dalam Negeri yang meluluskan perlantikan Profound Radiance sebagai Pengendali OSC Nepal dan Pakistan telah menerima suapan secara rasuah daripada penama Azlan Shah'.

“Maka keterangan ini perlu dikeluarkan daripada penyataan saksi. Malah Azlan Shah Jafril (saksi pendakwaan ke-38) dalam keterangannya telah menyatakan bahawa tidak ada elemen rasuah di dalam pemberiannya yang di mana kaki ceknya ditulis ‘charity’.

“Keterangan ini dikategorikan sebagai 'pendapat' kerana tiada apa-apa keterangan di hadapan mahkamah ini berkaitan pemberian ini adalah rasuah, selain keterangan ini mendahului mahkamah, keterangan seperti ini adalah ‘inadmissible’ (tidak boleh diterima),” katanya.

Timbalan Pendakwa Raya (TPR), Gan Peng Kun dalam hujahannya berkata, pernyataan saksi Fairul Rafiq bukan berbentuk pendapat tetapi berdasarkan siasatan dan bukti yang telah dikumpulkan oleh saksi itu.

“Pegawai penyiasat berhak untuk mengemukakan bukti dan terserah kepada mahkamah untuk memutuskan kebolehpercayaan siasatan tersebut,” katanya.

TPR Datuk Raja Rozela Raja Toran pula berkata, bukti yang diketengahkan pegawai penyiasat tidak boleh dibaca sebagai pendapatnya kerana beliau membuat penilaian berdasarkan apa yang telah diperoleh dalam siasatannya.

"Beliau berusaha menghubungkan apa yang diperoleh daripada hasil penyiasatannya. Beliau ke mahkamah dan memberitahu mahkamah mengenai bukti yang diperoleh dan untuk mahkamah menilainya. Tetapi ini tidak menjadikannya (pernyataan) tidak boleh diterima," katanya.

Ahmad Zahid, berdepan 47 pertuduhan dengan 12 daripadanya membabitkan pecah amanah, lapan rasuah dan 27 pengubahan wang haram melibatkan puluhan juta ringgit dana milik Yayasan Akalbudi.

Perbicaraan yang bersambung petang ini akan mendengar keterangan Fairul Rafiq.- Bernama


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!