Kes Covid-19 di Negeri Sembilan terkawal

Aminuddin Harun
Aminuddin Harun
A
A
A

SEREMBAN - Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun memaklumkan keadaan kes jangkitan koronavirus (Covid-19) di negeri ini masih lagi terkawal.

Beliau berkata, kerajaan negeri melalui jabatan-jabatannya sentiasa bersiap siaga untuk menghadapi sebarang kemungkinan ataupun kenaikan kes positif baharu.

"Saya ingin mengingatkan kepada semua khususnya rakyat negeri ini agar terus mengamalkan amalan kendiri bagi mengekang penyebaran wabak Covid-19.

"Insya-ALLAH, mudah-mudahan Negeri Sembilan sentiasa terpelihara daripada wabak ini dan aktiviti ekonomi dapat berjalan dengan baik," katanya dalam satu kenyataan menerusi laman rasmi Facebooknya semalam.

Dalam masa sama, beliau berkata, kerajaan Negeri Sembilan turut mengambil maklum berkenaan perkembangan terkini pandemik Covid-19 terutamanya di kawasan yang terjejas.

Terdahulu, Negeri Sembilan mencatatkan 12 kes baharu positif Covid-19 menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak 1,081 kes.

Dari jumlah tersebut, 1,042 kes telah sembuh dan discaj, 31 kes yang menerima rawatan di wad dan lapan kes telah meninggal dunia.

Artikel Berkaitan: