Pengurusan Kedah perlu kekalkan Aidil Sharin

Mohd Safarizal Mohd Sobri
Mohd Safarizal Mohd Sobri
A
A
A

KESEDIAAN Aidil Sharin Sahak untuk terus kekal mengemudi Lang Merah harus disambut segera oleh Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) dalam persiapan pasukan beraksi di Liga Malaysia dan pentas Asia musim 2021.

Jurucakap Kelab Penyokong Gabungan Ukhwah Lang Merah (GULM), Mohd Safarizal Mohd Sobri berkata, KFA dan syarikat penswastaan yang akan menguruskan pasukan selepas ini perlu mengekalkan barisan jurulatih yang masih mempunyai keinginan terus memburu kejayaan pada musim seterusnya bersama Lang Merah.

Menurutnya, keserasian dan penerimaan semua pemain terhadap cara Aidil Sharin telah membawa Kedah muncul naib juara Liga Super 2020 sekaligus meraih satu slot Piala AFC 2021.

"Kedah telah mempunyai barisan jurulatih dan pasukan yang baik dan mungkin hanya perlu dibaiki sedikit sahaja lagi bagi terus memberikan cabaran pada saingan Liga Malaysia 2021 dan juga peringkat Asia.

"Kesediaan Aidil Sharin yang mahu kekal kerana sudah selesa berada di sini seharusnya memudahkan lagi urusan untuk terus mengekalkan beliau untuk melatih Lang Merah,"katanya ketika dihubungi Sinar Harian.

Tambah Safarizal, selain mengekalkan Aidil Sharin, beliau berpendapat Kedah juga perlu mengekalkan sebahagian besar pemain sedia ada kerana cabaran pasukan itu semakin besar dalam usaha mengekalkan kecemerlangan di peringkat Liga Malaysia termasuk memberikan saingan sengit di pentas Asia. musim 2021.

ARTIKEL BERKAITAN: 'Perasaan saya antara 80 dan 90 peratus dengan Kedah'

Terdahulu, Sinar Harian melaporkan Aidil Sharin akan memutuskan masa depannya selepas mengadakan pertemuan dengan pengurusan KFA berhubung rancangan mereka untuk musim depan.

Menurutnya, perasaannya antara 80 dan 90 peratus dengan Kedah pada musim 2021 kerana beliau suka segala-galanya di sini, namun akan membuat keputusan selepas mengadakan pertemuan dengan pihak pengurusan.

Artikel Berkaitan: