X

Kindly register in order to view this article
!

Vaksin Covid-19 antara agenda utama Hishammuddin, Wang Yi

Hishammuddin (kanan) menyambut ketibaan rakan sejawatannya dari China, Wang Yi (kiri) sebelum memulakan mesyuarat dua hala antara kedua-dua menteri itu hari ini. - Foto Bernama
A
A

KUALA LUMPUR - Menteri Luar, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein memulakan mesyuarat dengan rakan sejawatannya dari China, Wang Yi di sini pada Selasa, antara lain perbincangan utama tertumpu mengenai status dan ketersediaan vaksin Covid-19 dihasilkan China.

Hishammuddin dan Wang dijadual mengadakan pertemuan empat mata sebelum meneruskan dengan rundingan dua hala di sebuah hotel di sini.

Perbincangan kedua-dua pemimpin merangkumi peluang meningkatkan kerjasama ekonomi, kesepakatan pasca-pandemik dan memperkuat hubungan sedia ada antara Kuala Lumpur dan Beijing.

Menurut seorang pegawai Malaysia, masalah serantau dan global yang menjadi perhatian umum, termasuk di Laut China Selatan, juga dijangka dibincangkan.

Memastikan keberhasilan vaksin Covid-19 menjadi misi terpenting bagi semua negara kerana virus itu terus mengganas yang sehingga kini mengorbankan lebih sejuta nyawa dan menjangkiti lebih 37.7 juta orang di seluruh dunia.

Hishammuddin (kanan) dan rakan sejawatannya dari China, Wang Yi (kiri) sebelum memulakan mesyuarat dua hala antara Menteri Luar Malaysia dan China hari ini.
 - Foto Bernama
Hishammuddin (kanan) dan rakan sejawatannya dari China, Wang Yi (kiri) sebelum memulakan mesyuarat dua hala antara Menteri Luar Malaysia dan China hari ini.
 - Foto Bernama

Wang memberitahu menteri-menteri luar ASEAN dalam pertemuan melalui sidang video pada September, China akan mengutamakan pengedaran vaksin ke negara-negara ASEAN selepas republik itu memenuhi keperluan domestiknya.

Wang, yang juga Ahli Majlis Mesyuarat Negara China, dalam rangka melakukan kunjungan rasmi ke beberapa negara ASEAN - Kemboja sebagai persinggahan pertama - sebelum tiba di sini pada Isnin dengan mematuhi prosedur operasi standard yang ketat ketika negara sedang melawan gelombang ketiga pandemik.

Beliau dijadualkan berlepas ke Singapura hari ini dan mengakhiri lawatannya dengan kunjungan ke Laos dan Thailand.

Kali terakhir beliau melawat Malaysia pada 2018.- Bernama


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!